Oleh: Bawani KS
Rakyat Malayusia membantah tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menandatangani perjanjian Free Trade Agreement (FTA) di antara Malaysia dengan European Union(EU). Perjanjian itu disifatkan hanya akan menguntungkan sebelah pihak iaitu negara maju berbanding negara membangun seperti Malaysia yang akan menjadi tempat lambakan produk Nngara Eropah yang dibawa masuk dengan cukai minimum atau tanpa cukai.
Sehubungan itu, satu tunjuk perasaan diadakan baru-baru ini di hadapan Prince Hotel, Kuala Lumpur membantah lawatan delegasi EU dan upacara menandatangani perjanjian FTA.
Para penunjuk perasaan kira-kira 100 orang berhimpun di hadapan hotel berkenaan pada jam 10.30 pagi sambil meneriakkan ‘STOP STOP FTA’ ‘ Kami tak mahu FTA’ ‘Balik Balik EU Balik’ ‘Down Down EU Down’ ‘FTA Membunuh’ dan ‘Kill Kill FTA Kill’. Sebagai gimik beberapa buah keranda dibawa sebagai simbolik FTA yang akan membunuh rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Sungai Siput yang juga Jawatankuasa Pusat PSM Dr. Jeyakumar berkata FTA merupakan perjanjian yang tidak adil bagi Malaysia berdasarkan saiz ekonomi negara ini.
“Malaysia lebih baik membuat perjanjian FTA bersama negara-negara yang setaraf dengannya seperti Afrika dan negara Asean. Malaysia tidak boleh membuat perjanjian dengan negara-negara kaya seperi EU yang akan mengenakan tarif yang rendah. Dengan itu harga barangan akan meningkat dan golongan yang berpendapatan rendah seperti petani akan mengalami kesan yang teruk,” bidasnya.
Wakil dari Positive Malaysian Treatment Access, En Edward pula berkata jika rundingan EU FTA tersebut berjaya maka ubat bagi pesakit AIDS akan lebih mahal dan menyukarkan mereka menyambung kehidupan.
“Ubat HIV generik yang lebih murah tidak boleh lagi dijual di Malaysia. Ini kerana FTA akan menghentikan pengeluaran ubat generik dari Malaysia atau pun mengimport dari India yang lebih murah seperti sekarang. EU akan memdominasi pengeluaran ubat-ubat ini dengan mengenakan harga yang tinggi. Ini akan memberi kesan yang teruk terhadap pesakit-pesakit terutamanya pesakit HIV,” keluhnya.
Wakil dari NGO JERIT En Kohila menegaskan bahawa FTA akan menyebabkan kenaikan harga barang keperluan secara mendadak dan menyukarkan lagi kehidupan rakyat yang telah sedia terbeban dengan kenaikan harga minyak.
“FTA akan membunuh rakyat Malaysia dengan kenaikan harga barangan terutamanya sektor pertanian dan perubatan yang akan meningkat dengan mendadak. Ini akan menyebabkan beban hidup rakyat bertambah. Kerajaan Malaysia perlu mengutamakan aspirasi rakyat dan berbincang dengan rakyat terlebih dahulu sebelum ia diluluskan kerana rakyat adalah penentu segala-galanya,” ujar beliau.
Selepas bantahan selama lebih 30 minit wakil European Union bersetuju untuk berjumpa dan menerima memorandum daripada Gabungan Membantah EU FTA. Lima orang wakil diketuai Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim telah pergi ke Kedutaan EU di Jalan Tun Razak dan telah menyerahkan memorandum kepada Duta EU. Hasil pertemuan itu, Duta EU telah berjanji untuk mengkaji memorandum ini dan memberi maklum balas melalui email dalam tempoh yang segera.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.