Pakatan Rakyat Sabah mendesak Ketua Menteri (KM), Datuk Seri Musa Aman dan Exco kerajaan negeri mengisytihar harta bagi mengelak mereka ‘menjadi orang kaya segera’ sepanjang menjawat jawatan itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang yang juga Penasihat DAP negeri, Dr Hiew King Cheu.
Soalan itu antara yang diajukan Pakatan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan gabungan itu tidak memberi laluan mudah sepanjang perbahasan berlangsung.
“Pengisytiharan ini juga penting bagi memastikan tiada berlakunya salah guna kuasa dan rasuah dan menjawab persoalan rakyat berhubung kekayaan Ketua Menteri sebagaimana dilapor media sekian lama.
“Lagipun perlembagaan negeri tidak membenarkan mereka yang memegang jawatan penting memperoleh pendapatan dari sumber mencurigakan, “Di Pulau Pinang, kabinet Pakatan Rakyat sudah membuat perisytiharan secara terbuka dan mendapat liputan meluas dalam media,” katanya.
Amalan mengiytihar harta katannya penting bagi menjamin kredibiliti, akauntabiliti dan ketelusan kerajaan sekaligus membina unsur pentadbiran telus kepada rakyat.
Musa dalam jawapannya bagaimanapun memberi alasan semua exco kerajaan negeri mengisytihar harta kepadanya dan tidak menjawab soalan lain melibatkan beliau.
Pada 13 Disember 2012, Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli dalam kunjungannya ke Hong Kong menegaskan Musa terlibat dalam penggubahan wang haram sebagaimana dinyatakan Naib Pengerusi kepada satu panel yang menyelia Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC) Hong Kong, James To.
Kes itu bagaimanapun sekejap timbul sekejap tenggelam ekoran tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mempertahan Pengerusi Umno Sabah itu.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, Pakatan Rakyat belum membuat keputusan berhubung tuntutan BN negeri mahu menaikan eluan Adun kerana apa yang penting ketika ini ialah mengatasi kos sara hidup rakyat yang kian melonjak.