Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mencabar kepimpinan Kerajaan Negeri Perak untuk mengisytiharkan harta semua Exco Kerajaan Negeri Perak dan Pegawai-Pegawai Pejabat Menteri Besar.
Menurut Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Salman Hj Salleh langkah itu bagi membuktikan ketelusan dan kewibawaan kepimpinan Kerajaan Negeri Perak yang pada sessi lalu dikatakan terdapat seorang Exco Kerajaan Negeri Perak telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Bagi kami, pengisytiharan harta merupakan komitmen utama kami di dalam Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak jika diberikan mandat oleh rakyat. Kami yakin ianya akan menunjukkan perbezaan kepimpinan kerajaan yang memerintah iaitu antara PR dan juga Barisan Nasional (BN). Ketelusan dan intergriti adalah antara perkara penting yang ingin rakyat lihat dan kami tidak mahu terlalu banyak alasan yang akan diberikan bagi menolak perlaksanaan pengisytiharan harta ini.
“Walau apa pun alasan yang akan diberikan nanti, kami beranggapan bahawa kepimpinan Kerajaan Negeri Perak ketika ini gagal menunjukkan ketelusan dan intergriti yang tulen. Malah jika selepas ini terdapat pelbagai tohmahan berkaitan ‘kekayaan luar biasa’ kepimpinan Kerajaan Negeri Perak, tidak salah persepsi dari rakyat bahawa berlaku banyak salahguna kuasa yang menyebabkan mereka menjadi kaya dan bermewah!,” katanya