Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) tetap mengharapkan Kerajaan Pusat dapat membuat keputusan untuk merealisasikan penubuhan Universiti Felda demi menjana transformasi pendidikan anak-anak Felda di seluruh negara.
Timbalan Pengerusi gabungan itu, Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, pihaknya amat berharap Kerajaan Pusat dapat membuat keputusan itu dalam tempoh terdekat selepas beberapa rundingan dibuat.
“Kita sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan dan reaksinya nampak positif (untuk menubuhkan universiti),” katanya selepas mengadakan Program Taklimat Cadangan Penyusunan Semula GWGF Di Bawah Model Baru Ekonomi, Sosial dan Pendidikan Untuk Generasi Baru Felda Bagi 20 Tahun Akan Datang dan Hari Keluarga Peringkat Negeri Kelantan di Felda Chiku 6 di Gua Musang, hari ini.
Abdullah berkata, lokasi pembinaan universiti itu sudah dikenal pasti namun perbincangan dengan pihak berkenaan tidak dapat diumumkan lagi buat masa ini.
Menyentuh mengenai perancangan 20 tahun dalam bidang pelajaran, Abdullah berkata, gabungan itu akan menjelajah ke seluruh FELDA untuk memberikan motivasi kepada pelajar anak-anak peneroka.
Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Abdullah berkata, pihaknya juga sudah menempatkan sukarelawannya di DUN itu bagi membantu menerangkan dasar-dasar kerajaan yang telah berjaya membangunkan Felda selama ini.
Penamaan calon bagi PRK kerusi DUN itu ditetapkan pada 22 Januari dan hari pengundian pada 30 Januari ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, 17 Disember lalu.
– Bernama