Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melahirkan kekesalan berikutan beberapa projek yang boleh disifatkan sebagai ‘gajah putih’ yang menggunakan nama Institusi DiRaja terbiar dan tidak diurus dengan baik.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata PAS telah banyak mempersoalkan mengenai projek terbiar BN di Perak, namun masih banyak yang tgidak diselesaikan.
“Antara yang pernah kami nyatakan tentang naik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang bernilai RM 42 Juta dilihat masih gagal merancakkan jadual penerbangan dengan kos yang telah dibelanjakan.
“Apa yang ingin kami bawa, satu lagi projek ‘gajah putih’ iaitu Hentian Rehat dan Rawat di Jabatan Raja Muda Nazrin dan Resort Tasek Raban, Lenggong. Perancangan menaik taraf jalan Lenggong – Sauk dan juga melibatkan pembinaan Jabatan Raja Muda Nazrin pada tahun 2006 masih dibiarkan Hentian yang turut dibina tanpa difungsikan sebaik mungkin malah masih ditutup. Walaupun pada tahun 2009 Institut Skill-Tech telah mengambil alih pengurusan Hentian tersebut, tetapi ianya ibarat ‘indah khabar dari rupa’.
“Seperkara lagi yang kami lihat, walaupun Ahli Parlimen Kawasan Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang pernah menyuarakan masalah ini tahun lepas nampaknya masih tidak berhasil. Kami melihat dengan usaha Majlis Daerah Lenggong yang sedang berusaha membaik pulih infrastruktur Hentian tersebut pada tahun ini bukannya akan menyelesaikan masalah dalam jangkamasa pendek. Kami persoalkan juga, kenapakah perlu membazirkan lagi ‘wang rakyat’ dengan projek ‘gajah putih’ yang tiada penghuni tersebut!” katanya.