Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, Mahkamah Rayuan patut mengadakan perbicaraan semula apabila mendapati wujud kecacatan dalam penghakiman kes, bukan membuat keputusan membebaskan tertuduh.
“Seksyen 60 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 membolehkan hakim memerintahkan perbicaraan semula sesebuah kes ketika proses rayuan sedang diadakan,” katanya.
Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos lalu melepas dan membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan bersalah kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang membacakan keputusan penghakiman tersebut memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan tertuduh.
Manakala Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul mempersoalkan motif pembunuhan dan saksi penting yang tidak dipanggil sepanjang perbicaraan pembunuhan Altantuya.
“Adalah sesuatu yang pelik bila beberapa saksi penting seperti DSP Musa Safri dan Setiausaha Sulit Najib, Nasir Safar tidak dipanggil dari awal proses perbicaraan,” katanya.
Beliau yang melahirkan rasa pelik terhadap prosiding mahkamah yang disifatkan sebagai janggal juga mempersoalkan mengapa dari awal perbicaraan lagi mahkamah tidak pernah membangkitkan motif pembunuhandalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia itu.
“Apa sebenar motif pembunuhan, tidak mungkin wanita itu dibunuh tanpa motif.
“Tapi peliknya soal motif pembunuhan tidak pernah dibangkitkan di mahkamah, sedangkan motif adalah perkara paling penting dalam menyelesaikan sesuatu kes jenayah bunuh.
“Sehingga hari ini, kerana soal motif pembunuhan tidak pernah dibangkitkan dalam perbicaraan, kita tidak tahu mengapa wanita itu dibunuh sebelum diletupkan,” ujar beliau.
Johari yang juga merupakan Ahli Pimpinan Pusat KEADILAN tidak menolak ada kemungkinan perancangan bagi memastikan mereka yang terlibat dalam kes ini dibebaskan melalui kesilapan-kesilapan teknikal.
Menurut beliau sudah pasti perancangan itu dilakukan dari mula dan dilakukan secara licik.
“Jika ditanyakkan kepada saya, saya yakin terdapat perancangan untuk sengaja membebaskan semua yang terlibat dalam kes ini.
“Saya katakan seseorang yang licik telah merancang supaya yang terlibat terlepas atas sebab teknikal yang sengaja dirancang dari awal,” tegas Johari lagi.