Hakim Mahkamah Pilihanraya Kota Kinabalu, Datuk Yew Jen Kee akan memutuskan sama ada membatal atau tidak petisyen yang difailkan Datuk Kong Hong Ming bagi kerusi Parlimen Tawau yang ditandingi pimpinan KEADILAN Sabah itu.
Dalam petisyen itu, Kong menamakan SPR, Pegawai Pilihanraya Sabah, Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Tawau dan calon BN yang memenangi kerusi itu, Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai responden.
Kong mendakwa kemenangan Yap bertentangan prinsip yang mengkehendaki responden pertama dan kedua serta pegawainya mengendali pendaftaran pemilihan secara teratur selain
mengekal satu daftar yang hanya mengandungi warga Malaysia layak mengundi.
Kong turut mendakwa daftar pemilih parlimen itu dicemari penipuan dan perjalanan pilihanraya itu tidak sah di sisi undang-undang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei lalu, Yap menang dalam saingan empat penjuru dengan meraih 21,331 undi berbanding Kong 16,352 undi, calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Dr Chua Soon Bui 633 undi dan calon Bebas Ahmad Awang 553 undi.