KUALA NERUS – Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyah (MTT) mengadakan Majlis Haflatul Quran dan sambutan Ihtifal selama empat bermula Rabu dan aakan berakhir pada Sabtu 14 September.
Menurut Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep), Ustaz Abu Bakar Abdullah, objektif penganjuran majlis tersebut adalah bagi meraikan pelajar yang berjaya menamatkan hafazan al-Quran dan juga mengiktiraf kejayaan pelajar cemerlang PMR, SPM dan STAM 2012 (kurikulum).
“selain meraikan para pelajar yang ‘Hafiz’, Majlis Haflatul Quran dan memberi pengiktirafan kepada anak-anak cemerlang dalam peperiksaan, Ihtifal MTT melatih kemahiran para pelajar untuk bekerja secara berkumpulan berjamaah yang menjadi satu dariapada kegiatan ko-kurikulum,”ujarnya
Selain itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu berkata, majlis dan program tersebut juga adalah landasan (platform) bagi membangunkan kumpulan lepasan pelajar sebagai pemimpin masa depan.
Katanya, ia akan dapat menyuburkan jiwa pengorbanan di kalangan guru, pelajar dan anggota masyarakat serta mengukuhkan hubungan MTT dengan masyarakat setempat.
Menurutnya, program tersebut diadakan selama empat hari yang meliputi ceramah perdana, pertandingan hafazan al-Quran, khatam al-Quran, anugerah pelajar cemerlang, sukaneka anak-anak Pasti, seni silat mempertahankan diri, karnival qiraat jemputan, nasyid, demontrasi ular, pameran, gerai jualan, derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma serta jamuan rakyat.
Beliau yang ditemui selepas menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang berkata, sambutan terhadap Majlis tersebut cukup baik, apatah lagi ia dilangsungkan di kompleks pusat pengajian (MTT) yang tergergam sebuah Masjid, bernilai RM1.6 juta dan bakal digunakan secara qariah kampung untuk bersolat jumaat.
Majlis Haflatul Quran itu dirasmikan oleh Sheikh Ali Abdul Rahman As-Saufi dari Universiti Al-Iman, Sanaa’, Yaman dan hadir sama Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik, Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep), Ustaz Abu Bakar Abdullah.