Sasterawan Negara Datuk A Samad Said membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin yang menggelarnya ‘memalukan’ dan ‘tidak senonoh’.
Ia berikutan dakwaan terhadap Samad yang dikatakan terlibat dengan tindakan mempamerkan Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka.
“Untuk mengatakan saya tidak senonoh, itu saya tidak terima. Itu hanya andaian dia, hanya tafsiran dia.
“Hanya kerana dia Timbalan Perdana Menteri, untuk mengucap dan mengatakan saya tidak senonoh – dia mesti lihat saya dari awal pagi sampai tengah malam, apakah saya orang yang tidak senonoh,” katanya yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.
Muhyiddin menggelar penerima anugerah SEA Write Award itu ‘memalukan’ dan ‘tidak senonoh’ dalam ucapannya di Universiti Malaya, 6 September lalu.
Namun, dalam nada lembut namun tegas, Pak Samad menjelaskan tidak mahu berterusan menyinggung Muhyiddin, kerana mempunyai pertimbangannya sendiri.
“Salah untuk mengatakan saya ini tidak senonoh – oleh saya berbeda pendapat. Ini demokrasi. kalau autokrasi, boleh.
“Kalau dia hidup dalam dunia autokrasi, ya, saya hormat dia. Boleh dia cakap begitu.
“Ini demokrasi. Sedang dia berkuasa oleh kerana demokrasi. Dia harus berterima kasih. Dia hanya penikmat kemerdekaan,” ujar Sasterawan Rakyat yang menghasilkan puluhan novel dan buku puisi.
Dalam pada itu kata Pak Samad, beliau yakin anak-anak muda yang mengibarkan Sang Saka Bendera Rakyat di malam ambang kemerdekaan itu sedar dan tahu perbuatannya.
“Saya fikir anak-anak yang datang itu dengan penuh pengetahuan, dengan penuh kesedaran, dengan penuh rasa tanggungjawab. Jadi, saya tidak fikir itu salah.
“Kita harus berbeda pendapat. Tapi dengan berbeda pendapat – tak bererti langsung sahaja yang berbeda itu salah, yang tak berbeda itu benar,” tegasnya.
Ketika ditanya jenis dan jumlah soalan diajukan polis semasa keterangannya diambil pagi 4 September lalu, Pak Samad berkata hanya akan menjawabnya di mahkamah.
“Saya tidak keseorangan. Ada peguam, rakan-rakan dari Bersih, aktivis Hishamuddin Rais, Adam Adli dan lain-lain,” katanya.