Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bersedia menyediakan peguam jika saksi yang hadir memberi keterangan dalam Tribunal Rakyat anjurannya diancam, kata Pengerusi bersamanya, Datuk Ambiga Sreenevasan.
“Kita nasihatkan rakyat berterusan tampil memberi keterangan dan jangan sesekali takut dan gentar. Hadirlah dan cakap apa jua yang anda ingin luahkan dan tahu apa yang berlaku sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Jika anda merasa diancam atau diugut sama ada sebelum dan selepas memberi keterangan, kami sedia menyediakan peguam,” katanya kepada Suara Keadilan selepas ditemui di sebuah hotel di Subang Jaya tempat berlangsungnya Trbunal itu.
Ambiga diminta mengulas kenyataan individu tertentu dalam sebuah portal berita bahawa saksi yang memberi keterangan dalam tribunal itu tiada imuniti dan berdepan tindakan undang-undang termasuk saman dan akta hasutan.
“Saksi memang tiada imuniti, tapi isu pokok ialah di mana lagi rakyat mahu mengadu mengenai penipuan dan penyelewengan PRU jika tidak di sini dan selagi mereka bercakap benar tiada masalah.”Petisyen dan laporan polis mengenai penipuan PRU sudah dibuat, tapi kebanyakan kes tidak memuaskan hati rakyat selaku pengundi,” ujarnya.
Mengulas mengenai perjalanan Tribunal yang masuk hari ketiga, beliau berpuas hati terutama kesanggupan saksi mendedahkan lebih dari apa yang rakyat terbanyak tahu mengenai apa sebenarnya berlaku pada PRU lalu.
“Selepas melihat perjalanan Tribunal hari ini saya berpandangan sepatutnya ia berbentuk Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) kerana semakin ramai saksi tampil hingga pengendali Tribunal memanjangkan masa hingga ke malam berbanding 9 pagi hingga 5 petang tetapkan sebelum ini.
“Apapun, kita hormat kerana barisan panel Tribunal terdiri dari golongan profesional, pakar dan memiliki pelbagai pengalaman masing-masing,” katanya yang mungkin turut dipanggil memberi keterangan Ahad ini.
Antara anggota Tribunal ialah Gurdial Singh Nijar Sadu Singh, peguam dan profesor undang-undang terkenal dan merupakan ketua pendakwa Tribunal Jenayah Perang di Kuala Lumpur sebelum ini.
(Visited 112 times, 1 visits today)