Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menyahut cadangan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir agar isu kemiskinan di Negeri Perak dibincangkan secara fakta dalam forum khas yang akhirnya mencapai satu kerangka kerja dengan hasrat untuk menyelesaikan permasalahan utama kemiskinan di Perak yang berlaku kini.
Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Salman Hj Salleh berkata walaupun kenyataan Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah, V. Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak disanggah oleh Datuk Seri Zambry berkaitan kategori miskin tegar di Perak yang menduduki tempat kedua dalam Malaysia namun perbincangan diperlukan untuk mengetahui fakta sebenar.
“Kami tuntas melontar agar satu forum khas diadakan bagi membincangkan isu ini kerana ianya meragukan banyak pihak. Dan amat sesuai satu pentas forum diadakan bagi mewakili pihak Kerajaan Negeri Perak dan pihak luar yang mempunyai fakta dan kajian yang tepat terhadap kemiskinan di Perak khususnya. Mungkin fakta yang diperolehi Sivakumar dikatakan tidak tepat yang datangnya daripada agensi kerajaan sendiri, kami mengambil sikap seadilnya ianya perlu dibahaskan secara sihat bagi merungkai fakta yang lebih tepat dan fokus untuk menyelesaikan masalah kemiskinan yang ada. Datuk Seri Zambry bagi kami boleh melihat sendiri dengan fakta yang diperolehi kelak bagi menangani masalah yang ada dan ianya boleh membantu pihak Kerajaan Negeri Perak itu sendiri.
“Kami juga merasakan ianya juga membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak khasnya dan agensi-agensi kerajaan negeri termasuklah Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah kemiskinan di Perak kelak. Kami terbuka agar forum ini menjadi realiti termasuk jika kami yang akan menganjurkannya ataupun mana-mana pihak bagi merungkai masalah utama di Perak ini. Kami mengharapkan Datuk Seri Zambry menyambut cadangan ini agar dapat memberikan impak positif kepada pembangunan di Perak kelak,” katanya.