Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin penjelasan daripada Laporan Ketua Audit Negara 2013 berkaitan beberapa struktur bangunan yang berlaku kerosakan atau kemusnahan yang selama ini tiada tindakan susulan setelah beberapa kejadian berlaku sebagaimana dilaporkan media.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata perkara tersebut amat penting kerana melibatkan nyawa dan isu keselamatan yang dilihat seolah-olah dikesampingkan di dalam Laporan Audit yang dikeluarkan.
“Banyak laporan media telah dikeluarkan seperti kejadian keretakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), kebocoran syiling di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Dewan Serbaguna Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pejabat Imigresen Putrajaya, Kampus Induk Universiti Pendidikan Sultan Idris, Hospital Serdang dan banyak lagi pejabat milik kerajaan berlaku kejadian seumpama itu.
“Termasuklah kebocoran dan keretakan di sekolah-sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Connaught, Sekolah Kebangsaan Sri Gunong di Gunung Keriang, Sekolah Agama Rakyat Masjid Tuan Guru, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan dan banyak lagi kerosakan termasuk tangki air yang rosak.
“Yang turut mengemparkan juga adalah keruntuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan yang terbaru Jambatan Kedua Pulau Pinang yang mengakibatkan kematian.
“Banyak kos pembelanjaan bagi projek-projek mega tersebut yang memberikan kesan isu nyawa dan keselamatan pengguna selama ini. Akan tetapi, kami merasakan Laporan Audit tidak pula memperincikan struktur bangunan dan projek yang dibangunkan untuk dinilai kembali atau disiasat akan peraturan dan panduan kerjanya. Bagi kami, inilah asas utama Laporan Audit perlu mengambilkira akan ketirisan dan penipuan atas projek-projek bertaraf mega ini,” katanya.
Beliau memberikan contoh projek Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang menelan belanja sebanyak RM270 juta telah berlaku empat kejadian kerosakan yang memalukan. Bagi projek Jambatan Kedua Pulau Pinang pula, kosnya adalah RM3 bilion dan mengakibatkan kematian pada Jun 2013 yang lalu.
Pada Jun 2013, katanya, bumbung Blok B, Kuarters Kerajaan Presint 15 di Putrajaya tercabut dan diterbangkan oleh ingin semasa kejadian berlaku. Dan amat memalukan, projek Hospital Serdang yang menelan belanja RM690 Juta telah berlaku keruntuhan syilingnya pada Januari 2011 dan Ogos 2012 yang lalu.
“Ini semua antara projek-projek ‘sakit’ yang masih dipelihara oleh Laporan Audit yang dilihat tidak mengambilkira isu melibatkan nyawa dan keselamatan pengguna di masa akan datang. Jesteru, kami merasakan Laporan Audit yang disediakan tidak menunjukkan keadaan yang sebenar kitirisan dan kelemahan pengurusan yang ada bagi setiap penyaluran kewangan kerajaan. Kami cukup bimbang jika Laporan Audit mengenepikan faktor-faktor penting struktur bangunan setiap projek yang dibangunkan selama ini. Kecuai dan penipuan adalah penyumbang utama setiap projek yang dibangunkan oleh kerajaan selama ini,” katanya lagi