Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak pelik dengan aktiviti yang dijalankan oleh Perbadanan Menteri Besar atau Menteri Besar Incorporated (MBI) sebagai sebuah syarikat perlombongan tanah liat sepertimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 baru-baru ini.
Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata aktiviti perniagaan itu secara tidak langsung mengambil alih peranan yang dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) selama ini dan anak syarikatnya iaitu Perak Teamwork Sendirian Berhad yang menjalankan operasinya semenjak tahun 2008 yang lalu.
“Sebagai contoh kawasan perlombongan tanah liat di Mukim Trong Daerah Larut, Matang dan Selama seluas 298 ekar yang dahulu dikendalikan juga oleh anak syarikat PKNPk iaitu PIRB Mineral Sendirian Berhad semenjak tahun 2005 sebelum Perak Teamwork mengambil alih pada tahun 2008 ketika itu. Tetapi pada tahun 2012 pula, Perak Teamwork hilang kelayakan mengurus tapak perlombongan tanah liat tersebut dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG) telah menyerahkannya pula kepada MBI.
“Tetapi yang peliknya juga, Perak Teamwork diberikan kelulusan oleh MBI untuk mengendalikan seluas 25.01 ekar daripada keluasan yang kini dikendalikan oleh MBI iaitu 298 ekar sepenuhnya. Apakah tujuan MBI mengambil alih projek perlombongan tanah liat daripada PKNPk? Sungguh pelik tindakan yang dilakukan MBI yang lebih mengutamakan pendapatan dan ianya tidak selari dengan kewujudan utamanya. Bagaimana peranan MBI telah beralih arah kepada sudut perniagaan dan pelaburan yang sepatutnya diberikan kepada agensi-agensi kerajaan yang lain termasuk anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.