Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merasakan akan ada rombakan perlantikan Exco Kerajaan Negeri Perak berikutan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA dan juga Pemilihan Mesyuarat Agung Umno di Peringkat Bahagian yang akan memberikan kesan perubahan.
Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Koordinator, Jawatankuasa Isu dan Strategik, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak berkata, sudah tentu satu kerusi untuk MCA akan diberikan semula dengan melantik Dato’ Dr Mah Hang Soon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Chenderiang kelak.
“Namun, bagaimana pula nasib Exco Kerajaan Negeri yang telah tewas di dalam pemilihan Umno Bahagian seperti Dato’ Haji Zainol Fadzi Haji Paharudin, ADUN Sungai Manik dan Dr Mohd Amin Zakaria, ADUN Batu Kurau. Dato’ Zainol Fadzi yang tewas merebut kerusi Ketua Umno Bahagian Pasir Salak dan Dr Amin yang tewas merebut kerusi Naib Ketua Umno Bahagian Larut baru-baru ini. Adakah mereka akan dikekalkan? Adakah juga Umno Bahagian merestui untuk mengekalkan mereka sebagai Exco Kerajaan Negeri?
“Ramai pihak menanti-nantikan pengumuman penting Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir kelak sama ada beliau menerima keputusan yang ada atau sebaliknya. Jika Datuk Seri Zambry merombak Exco Kerajaan Negeri, sudah tentu tekanan yang mahukan beliau menghormati suara ‘akar umbi’ Umno yang telah memilih pemimpin mereka. Tetapi jika sebaliknya, pemilihan Umno menunjukkan bahawa konsep ‘parti mengusai kerajaan’ tidak berlaku jika mereka yang tewas terus dikekalkan,” katanya.