Kabinet Datuk Seri Najib Razak terlalu besar antara faktor menyebabkan hutang negara membengkak sekaligus membazirkan wang rakyat, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.
“Malaysia mempunyai 35 menteri dan 26 timbalan menteri berbanding Australia yang miliki jumlah penduduk agak sama tetapi berkeluasan 23 kali ganda lebih besar, hanya mempunyai 19 menteri kabinet, lebih kurang separuh dari menteri kita.
“Di Amerika Syarikat pula, Presiden Barack Obama hanya mempunyai 15 menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada 7 November lalu.
Malah katanya, dana RM 58.6 billion yang disalur kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan dalam bajet 2014 suatu jumlah besar
“Mengikut anggaran ada 18 Ahli Parlimen, senator atau bekas Ahli Palimen bekerja di JPM dan Kementerian Kewangan, Sembilan menteri dan tiga timbalan menteri. Begitu juga penasihat khas seperti Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Pemusatan kuasa di tangan Perdana Menteri (PM) sahaja menyebabkan kerajaan terlalu besar, tidak efficient dan berbahaya. Mengikut Lord Acton, power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Malaysia perlu melaksana desentralisasi sebagaimana diamal negara maju untuk mengagihkan lebih kuasa kepada kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tanpa menubuh jawatankuasa baru hanya kerana negeri itu ditadbir Pakatan Rakyat.
“Baru-baru ini, PM melulus RM63 juta untuk menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di 24 zon PBT konon menyokong pembangunan masyarakat dan menangani isu-isu perbandaran. “Bukankah ini tugas ahli majlis? Adakah kementerian ingin menubuhkan ‘ahli majlis persekutuan’ untuk mengganti ahli majlis kerajaan negeri di negeri Pakatan ?
“Hentikan rampasan kuasa ini kerana PBT sudah mempunyai ahli majlis sah. Pendapat saya, kuasa PBT berada di tangan kerajaan negeri. Kementerian tidak harus campur tangan kerana penubuhan JPP melanggar perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.