Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bimbang, laporan intipan maklumat radio, telekomunikasi dan internet oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) adalah berkaitan dengan rundingan TPPA.
“Kesatuan Eropah (EU) telah memberi respon. Bila mereka diintip oleh AS, EU hentikan akses mereka (AS) terhadap sistem perbankan mereka.
“Kerajaan Malaysia (mesti) ambil iktibar dan hentkan perjanjian (TPPA) selagi belum mendapat penjelasan kenapa Malaysia menjadi sasaran intipan,” kata Nurul Izzah dalam sesi taklimat bersama pakar perdagangan antarabangsa di Parlimen, 7 November lalu.
Laman web globial.com melaporkan AS bakal dikenakan ‘sekatan ekonomi’ bernilai berbilion dolar dengan negara EU akibat aktiviti intipan dilakukan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) negara tersebut.
Akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald sebelum ini mendedahkan maklumat ‘whistleblower’ Edward Snowden bahawa risikan dibuat keatas Malaysia oleh kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet.
Intipan dijalankan di bawah operasi ‘STATEROOM; yang turut melibatkan Britain dan Kanada.
Kerajaan Sepanyol 28 Oktober lalu memanggil duta AS, James Costos untuk memberi tunjuk sebab berhubung intipan dibuat Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) AS.
Manakala Canselor Jerman, Angela Merkel turut menyatakan rasa kesal dan menuntut penjelasan White House berhubung pendedahan Edward Snowden bahawa telefonnya diintip.
Selain Sepanyol dan Jerman, turut menyertai bantahan terbaru terhadap tindakan intipan oleh AS ialah kerajaan Mexico dan Perancis.
Akhbar berpengaruh UK, The Guardian melaporkan pendedahan Edward Snowden, seorang kakitangan NSA yang hidup dalam buangan di Eropah bahawa AS mengintip komunikasi 35 pemimpin negara di seluruh dunia.