Akademi Pak Sako dan Alumnus Sekolah Politik telah mengadakan satu forum awam bertajuk “GST Untungkan rakyat atau untungkan kerajaan?” di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur pada selasa lalu.
Forum tersebut diadakan bagi membincangkan siapakah yang bakal mengaut keuntungan dengan pelaksanaan GST turut mempersoalkan apakah Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk melaksanakan sistem cukai yang dijangka tersebut.
Hishamuddin Rais, salah seorang finalis jemputan pada malam itu menyatakan bahawa cukai GST yang bakal dilaksanakan itu merupakan cukai regresif dimana ia juga turut dikenakan terhadap rakyat yang tidak berkemampuan.
Menurut beliau lagi, kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional juga sama sekali tidak mempunyai hak bagi untuk melaksanakan GST kerana tidak mendapat mandat majoriti dari rakyat pada PRU lalu.
Bersetuju dengan pendapat itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari menyatakan cukai GST tidak seharusnya dilaksanakan kerana rata-rata rakyat Malaysia masih berada dalampurata pendapat rendah.
Menurutnya pelaksanaan GST merupakan satu cara mudah yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan masalah hutang negara yang semakin membengkak disamping mengatasi kadar defisit yang semakin membebankan negara.
“Hutang negara Malaysia sudah mencapai RM541 Bilion, defisit sudah mencapai tahap 4% GDP,ini sudah menjadi satu masalah besar.
“Kerajaan mengambil jalan mudah iaitu memperkenalkan cukai yang akan membawa impak kepada semua rakyat malaysia,” katanya sambil mengingatkan cukai akan hanya akan membebankan rakyat dengan peningkatan harga barangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga finalis jemputan dalam forum menjelaskan pelaksanaan GST akan memberi kesan beban kepada majoriti rakyat Malaysia memandangkan jurang pendapatan rakyat yang semakin melebar.
Beliau menyarankan kerajaan menambah pendapatan negara dengan mengurangkan pembaziran dan ketirisan berbanding melaksanakan GST dalam keadaan rakyat Malaysia dibebani hutang isi rumah yang menurutnya sangat tinggi.
Raja Ahmad Shahrir Iskandar dari Institut Rakyat pula menjelaskan pelaksanaan cukai GST adalah satu bentuk percukaiaan regresif yang tidak adil, menurutnya golongan rakyat berpendapatan rendah akan lebih merasai kesan pelaksanaan cukai tersebut.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan oleh kerajaan berkuatkuasa 1 April 2015 bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang dimansuhkan.Perdana Menteri DatukSeri Najib Tun Razak berkata kadar GST yang akan dikenakan adalah sebanyak 6 %.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN, Najwan Halimi didalam forum berkenaan meminta kerajaan mengambil kira golongan muda yg masih kekal di takuk lama sebelum melaksanakan cukai GST.
Menurutnya golongan mudalah yang paling merasai kesan pelaksanaan cukai GST berikutan kemampuan ekonomi golongan ini yang masih tidak stabil.