Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa kesal tehadap kejadian pembunuhan yang membabitkan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Raflie Ab Malik semalam (10 November).
Menurut Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss kejadian pembunuhan tersebut tidak mustahil disebabkan komitmen tinggi beliau dalam operasi gerak gembur termasuklah memerangi kes salah laku agama.
“Kelegaan rakyat apabila dimaklumkan pembunuh pegawai Bank telah dicekup hanya bertahan beberapa jam sahaja sebelum dikejutkan kembali insiden membabitkan pembunuhan menggunakan senjata api yang kali ini mensasarkan kepada pegawai penguatkuasa pula. Kekerapan kes pembunuhan kejam ini telah mengakibatkan masyarakat dalam keadaan gelisah dan gusar dengan keselamatan mereka. Lebih menggusarkan ialah dari kalangan pegawai penguatkuasa di seluruh negara yang sangat komitmen dalam menjalankan tugas mereka.
“Kami menggesa pihak berkuasa memberikan jaminan terhadap keselamatan pihak pegawai penguatkuasa yang berkhidmat dalam kerajaan di semua sektor. Kami juga turut menyarankan pihak berkuasa memperketatkan lagi keselamatan terhadap pegawai penguatkuasa termasuklah ahli keluarganya bagi berhadapan apa sahaja kemungkinan ancaman yang disasarkan. Mereka ini sentiasa diancam oleh pihak yang terbabit dalam operasi gerak gempur untuk membalas dendam.
“Kami mengharapkan insiden ini tidak menyebabkan moral serta semangat penguatkuasa di semua jabatan diseluruh negara tidak terganggu dan berharap dapat meneruskan tugas serta komitmen yang diamanahkan kepada mereka. Kami menggesa Menteri terbabit, Datuk Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk memberikan penjelasan terhadap insiden kejam ini.
“Kami ingin tahu apakah usaha kerajaan untuk memerangi penyeludupan senjata api yang dilihat sangat mudah untuk diperoleh oleh penjenayah. Negara ini seolah-olah semakin bebas dikuasi oleh penjenayah dan ianya tidak langsung berkurang walaupun pelbagai operasi yang dilakukan oleh kerajaan. Kami memberikan harapan tinggi kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk menjaga keamanaan negara seterusnya meningkatkan lagi keyakinan rakyat kepada mereka,” katanya.