Hari ini kempen penghabisan menjelang hari mengundi di Pilihanraya kecil (PRK) Kerdau dan Merlimau. Kempen dijangka sengit di kawasan-kawasan campuran di kedua-dua DUN yang mana faktor kemenangan ditentukan oleh bukan Melayu.
Di Merlimau biarpun DUN itu merupakan kubu kuat BN namun jentera Pakatan Rakyat (PR) masih mencuba sedaya-upaya bagi mengurangkan majoriti kemenangan BN. PR agak seronok dalam ceramah sebelum hari penamaan calon apabila ceramah tokoh-tokoh besarnya seperti Anwar Ibrahim dan beberapa yang lain dihadiri ramai penonton. Namun selepas BN memulakan kempen yang penuh warna-warni wang ringgit PR mula kekurangan sokongan.
Pertubuhan 1Malaysia yang kononnya mengambil jalan tengah dalam kempen mewujudkan gencatan senjata kepada penyokong BN atau PR yang bukan Islam dengan menyediakan makanan dan persembahan hiburan di Merlimau turut menyumbang kekurangan sokongan kepada pembangkang. Penyokong PR tidak puas hati dengan aktiviti menjamu selera bagi menghindarkan orang ramai mendengar ceramah. Meski pun NGO 1Malaysia mendakwa mereka bukan ditaja oleh BN namun penyokong PR mendakwa mereka mungkin ditaja oleh taikun yang rapat dengan BN. Dakwa mereka, dari mana NGO ini mendapat bajet begitu besar untuk menaja makan-minum dan hiburan beribu-ribu orang sepanjang tempoh berkempen. Mereka juga mempunyai lori makanan sendiri, khemah dan kain pemidang yang banyak tertera gambar Najib serta menteri kabinetnya. Ratusan ribu ringgit diperlukan untuk menyediakan semua itu.
Kekurangan sokongan juga diakui oleh ahli-ali DAP yang turun berkempen di Merlimau. Jennifer yang berasal dari Kuala Lumpur datang membantu saat-saat akhir kempen mengakui menghadapi masalah kempen yang sejuk.
“Saya tanya beberapa pemimpin DAP, mereka kata orang Cina (Merlimau) tidak yakin dengan Pakatan Rakyat kerana tidak ada publisiti media. Saya lihat isu Teoh (Beng Hock) bagus untuk kempen tetapi masalah besar sekarang orang ramai kata PR tidak sensasikan isu itu. Mereka diam sahaja dan ini tidak efektif untuk kempen.
“Selain itu orang Cina dan India di Merlimau juga banyak yang termakan dengan kempen 1Malaysia BN,” keluhnya.
Beliau turut mendedahkan taktik terbaru BN di Merlimau yang mengugut pengundi bahawa undi mereka boleh dikesan oleh kerajaan.
“Ada laporan yang kami terima BN takutkan orang Cina dengan ugutan undi mereka bukan rahsia. Jika didapati mereka mengundi PAS maka BN tidak akan memberi bantuan kepada mereka. Ini taktik jahat yang tidak sepatutnya berlaku dalam pilihanraya,” tambahnya kesal.
Semenangnya pilihanraya di Merlimau mempunyai pelbagai cerita taktik kotor BN. Ketua Menteri Melaka Ali Rustam hadir di majlis cabutan bertuah yang memberi hadiah kepada bakal pengundi. Kenderaan penyokong PR dipecahkan cermin ketika mendengar ceramah. Gambar pemimpin PR ‘disuperimpose’ dengan gambar aksi lucah. Tidak ada siapa yang mengaku melakukannya. Namun bukankah itu sama sahaja dengan apa yang terjadi ke atas Zaid Ibrahim dalam PRK Hulu Selangor April lalu, di mana gambarnya disuperimposekan sedang meminum arak. Berdasarkan banyaknya sebaran gambar itu serta kualiti cetakan dan turut tersebar makalah memburuk-burukkan kerajaan Selangor dan tulisan yang menaikkan beberapa kerat pemimpin Umno tentunya pengundi boleh faham siapa yang mencetak. Dan pastinya perkara yang sama berulang di Merlimau.
Jangkaan DAP, sekiranya kurang dari 60 peratus kaum Cina keluar mengundi esok maka BN akan mengekalkan majoriti kemenangan yang diperolehi dalam pilihanraya umum lalu. Namun sekiranya lebih 60 peratus etnik Cina keluar maka PR berpeluang mengurangkan majoriti itu. Pengundi Melayu dan India dijangka tidak memberi pertambahan undi kepada PR.
Di PRK Kerdau pula keadaan lebih memihak kepada PR. Sejak bermulanya kempen jentera BN kelihatan kurang kemas dengan insiden beberapa orang pemimpin Umno tidak berpuas hati sesama sendiri. PAS telah sekian lama bergerak di Kerdau dan mempunyai jentera yang berkesan. Dalam pilihanraya umum lalu majoriti kemenangan BN juga tidaklah begitu besar di DUN berkenaan.
Keadaan menjadi lebih menarik setibanya waktu berkempen. Jentera BN agak gentar dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat kepada ceramah PR. Terutama yang dikepalai oleh Anwar Ibrahim, Tuan Guru Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Ternyata lokasi ceramah PAS-PR sehingga ke hari mengundi lebih banyak dikerumuni anak muda berbanding tapak ceramah BN yang diisi pengundi tua . Jelas terbayang momentum kebangkitan PR di Pahang jika situasi di Kerdau dijadikan ukuran.
Penyokong BN kelihatan amat terdesak pada dua hari sebelum mengundi apabila bertindak menghalang laluan konvoi kempen Anwar Ibrahim dan cuba mensabotaj kenderaan yang digunakan mereka dengan meletak paku di atas jalan. Kempen yang mengundang Ummi Hafilda Ali, adik Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga menemui jalan buntu apabila ceramahnya yang bertentangan tapak ceramah Anwar di Felda Rumpun Makmur tidak berjaya menarik pendengar. Ternyata hampir seribu orang mendengar ceramah Anwar dan tidak sampai 300 orang Umno mendengar ‘pengakuan’ Ummi. Ummi juga gagal menyerang Anwar dengan fakta terbaharu sebaliknya hanya mengulangi tuduhan bahawa pemimpin itu seorang yang rendah moral. Tindakan itu tidak menambahkan sokongan kepada BN selain menaikkan kemarahan penduduk setempat. Mereka mendakwa perkataan Ummi itu tidak sesuai diucapkan di hadapan pendengar Melayu.
Sementara itu, Pengerusi Biro Peneroka PAS Mazlan Aliman biar pun menghadapi provokasi penyokong BN di beberapa gugusan Felda yang mencaci NGO ANAK yang dipimpinnya sebagai ‘anak haram’ berpuas hati dengan kesedaran peneroka di Kerdau. Kesedaran itu baginya diharap akan membuahkan hasil menjadi undi penolakan kepada BN.
“Ya, BN terdesak. Sebab itu mereka turunkan banner dan bendera PAS. Mereka halang pemimpin PR berceramah dan pelbagai tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan sewaktu kempen.
“Beberapa tuntutan Anak di Felda Jengka 22, 23 dan 25 seperti wang ses, MPOB dan sebagainya telah mendapat respons. Hasil perjuangan PR telah terbukti,” katanya kepada suarapakatandaily
Tuntutan peneroka Felda sentiasa menjadi duri dalam daging kepada BN kerana agensi pembangunan tanah itu telah banyak melakukan tindakan yang menyukarkan kehidupan peneroka. Anak pula telah mendedahkan banyak penyalah-gunaan kuasa oleh anak syarikat Felda dan para pegawainya di peringkat ladang.
Manakala Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dalam komen ringkasnya berkata: “Memang BN terdesak kerana kita sudah buat inroads di Kerdau”
Dalam tinjauan pendapat, PAS mampu membuat kejutan di Kerdau. Jika tidak memenangi PRK Kerdau sekurang-kurangnya mengecilkan majoriti kemenangan BN di sana. Dan itu akan menjadi permulaan momentum kebangkitan PR di Pahang pada pilihanraya ke-13 kelak.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.