Dewan Pemuda PAS Negeri Perak kesal pembinaan Pusat Latihan KD Pelandok, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak yang gagal mematuhi prosedur tender dalam melantik kontraktor bagi menyebabkan pembayar cukai menanggung kos RM10.2 Juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 bahagian kedua yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.
Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata kontraktor yang dilantik, Syarikat Ijhraa (Malaysia) Sendirian Berhad, yang dianugerahkan projek pada 16 Disember 2009 hanya berjaya menyiapkan 55 peratus daripada projek tersebut selepas tarikh akhir tamat pada 27 Februari 2012, dan terpaksa diberi lanjutan sehingga 16 April 2012.
“Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Syarikat Ijhraa merupakan kontraktor Kelas B dan diberikan “kebenaran khas” untuk menyertai tender bagi membina KD Pelandok pada Mei 2009 yang menawar harga kedua terendah.
“Bagi kami, ianya adalah satu kelemahan bagaimana pengurniaan projek tersebut yang diberikan oleh Kementerian Pertahanan ketika itu. Sudah tentu Menteri Pertahanan ketika itu yang juga Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Ianya juga memalukan Negeri Perak khasnya dan dalam masa yang sama memalukan sektor pelancongan oleh kerana Lumut adalah tumpuan pelancong ke Perak khasnya.
“Bagi kami perkara tersebut amat memalukan dan kami juga turut mempertikai kerana pembayar cukai terpaksa menanggung kos RM10.2 Juta atas kelemahan tersebut. Dengan kos tersebut yang boleh diselamatkan sepatutnya boleh dipulangkan kembali kepada rakyat dan juga Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khasnya.
“Ketirisan dan kelemahan inilah yang Pakatan Rakyat (PR) perjuangkan agar tidak mudah akan berlaku lagi dan berlaku ketelusan setiap projek yang akan dibangunkan oleh kerajaan. Kami juga mendesak agar Syarikat Ijhraa turut disiasat memungkinkan berlaku unsur rasuah atas pengurniaan projek tersebut yang lalu,” katanya.