Dewan Pemuda PAS Negeri Perak terkilan dengan projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh yang telah dirasmikan oleh Pemangku Seri Paduka Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 21 Mei 2012 kerana terpaksa dinaik taraf sekali lagi.
Menurut Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-His projek yang menelan belanja RM 42 Juta dalam proses naik tarafnya pada 13 April 2011 dan telah mula beroperasi sepenuhnya pada 1 November 2012 didakwa gagal mematuhi prosedur tender dalam melantik kontraktor sehingga menimbulkan masalah.
“Apa yang dapat kami lihat dalam suasana Tahun Melawat Malaysia 2014 akan datang, perkara ini telah melembabkan dan menyukarkan kehadiran pelancong asing terutamanya ke Negeri Perak khasnya.
“Ini kerana, pintu kedua terpenting ke Perak iaitu pengakutan udara tidak mampu menarik banyak pihak untuk mendaratkan Kapal Terbang dan pesawat mereka yang lebih besar ke Perak. Antara punca utama masalah ini, projek bagi menaik taraf pemanjangan landasan daripada 1,798 meter sedia ada kepada 2,000 meter berdasarkan perjanjian projek sebenarnya tidak tepat dan kurang daripada yang sepatutnya. Persoalan kami, tidakkah mana-mana pihak yang bertanggungjawab dapat menghidu masalah utama ini untuk diambil tindakan? Dimanakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negeri dan juga Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC)?
“Kami merasakan projek menaik taraf LTSAS sekali lagi ini kelak akan menyebabkan pembayar cukai terpaksa menanggung kos tambahan bagi memastikan naik taraf pemanjangan landasan tersebut yang masih belum disempurnakan.
“Kami menantikan pihak Kerajaan Negeri Perak khasnya menjelaskan kedudukan sebenar projek LTSAS tersebut. Kami juga mempersoalkan dimanakah peranan SPRM khasnya dan pemilik projek iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) setelah perkara ini didedahkan. Dan kami juga menunggu respon daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) serta Jabatan Audit Negara tentang laporan masalah projek LTSAS tersebut,” katanya.