IPOH: Ketua Pembangkang DUN Perak, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mempersoalkan kenapa Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ditutup bulan ini untuk dinaiktaraf sekali lagi selepas dirasmikan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah 21 Mei lalu.
Menurutnya, sebelum perasmian, lapangan terbang itu telah pun dinaiktaraf dengan kos bernilai RM42 juta namun PAS melalui Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak pada 24 September tahun lalu mendedahkan bahawa berlakunya kepincangan dalam proses naik taraf itu.
Nizar menyatakan, pada perancangan asal, landasan itu akan dipanjangkan dari 1798 meter ke 2000 meter namun dikatakan ianya tidak dibina dengan sempurna menyebabkan proses penerbangan terganggu.
“Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memaklumkan bahawa Airbus A320,400,800 selain Boeing 737 tidak boleh mendarat di LTSAS.
“Ketika ini hanya kapal terbang jenis ATR-72 (72 tempat duduk) yang boleh menggunakan lapangan terbang itu.
“Ini bermakna apa yang didedahkan tetang kepincangan dalam proses naiktaraf itu ada kebenarannya,” katanya ketika mengadakan sidang media selepas membuat lawatan tidak rasmi ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Adun Sungai Rapat, Radzi Zainon dan Exco Pemuda PAS Perak, Salman Saleh.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, pelaburan wang rakyat sebanyak RM42 juta untuk menaiktaraf sebagai alternatif menarik minat pelancong ke negeri Perak ternyata gagal apabila lapangan terbang itu tidak mendapat sambutan oleh kerana kurangnya penerbangan.
Kegagalan ini kata beliau sangat memalukan negeri Perak serta institusi Diraja itu sendiri kerana ianya menggunakan nama Paduka Seri Sultan Perak.
“Kami menggesa kerajaan negeri menjawab persoalan ini dan kami ingin tahu berapa pula pembelanjaan naiktaraf kali kedua ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Raja Iskandar berkata, Pemuda PAS telah membuat laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober tahun lalu namun sehingga hari ini tidak mendapat maklum balas tentang isu itu.
Beliau mendesak agar Kerajaan Negeri Perak menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat isu tersebut yang dilihat berlaku kepincangan dalam proses naiktaraf itu.
Sementara itu, Radzi Zainon menyatakan, beliau telah membawa isu ini ke sidang Dun Perak namun kerajaan negeri tidak menjawab soalan itu seperti yang diharapkan.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat bahawa landasan lapangan itu mengalami mendapan hingga menyebabkan kapal terbang berat tidak dapat berlepas dan mendarat disitu.
Hasil daripada pemantauan yang bersama-sama dalam lawatan itu melihat, lapangan terbang itu lengang dan tidak mendapat sambutan.
Ianya ternyata merugikan jika dibandingkan kos naiktaraf yang menelan pembelanjaan besar.