KUALA KANGSAR: Dianggarkan seramai 300 orang berhimpun di hadapan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) hari ini membantah kenaikan cukai mendadak yang dikenakan berkuatkuasa awal tahun ini.
MPKK mengumumkan tarif baru cukai bagi semua peringkat iaitu 57 peratus bagi rumah kos rendah, 21 peratus bagi rumah kedai, 26.6 peratus bagi kampung tersusun dan rumah teres setingkat serta dua tingkat masing-masing dinaikkan 26 peratus.
Cukai untuk tanah kosong turut tidak terlepas daripada kenaikan yang diumumkan apabila dinaikkan sebanyak 36 peratus manakala kawasan industri sebanyak 19 peratus.
Himpunan itu turut disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Insan (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Persatuan Tionghua Kuala Kangsar bersama 15 NGO yang lain serta parti politik iaitu PAS, DAP dan PKR.
Wakil masyarakat setempat bersama PAS Kawasan Kuala Kangsar telah menyerahkan memorendum kepada pihak MPKK membantah kenaikan cukai yang mendadak itu.
Momerandum tersebut telah diserahkan oleh, Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Dr Raja Iskandar kepada Setiausaha MPKK, Abdul Khair Ahmad.
PAS Kawasan Padang Rengas serta Sungai Siput turut menyerahkan memo bantahan itu oleh kerana MPPK turut melibatkan kawasan tersebut.
Dalam memorandum tersebut antara lain mendesak pihak MPKK mengkaji semula kenaikan tersebut disamping memberikan cadangan untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang turut bersama-sama dalam bantahan itu berkata, tarif baru tersebut ternyata tidak munasabah oleh kerana kenaikannya sangat mendadak.
Ianya kata beliau akan memberikan kesan besar kepada masyarakat terutama yang berpendapatan rendah ditambah lagi dalam keadaan kos kehidupan semakin meningkat.
Menurutnya, PAS membantah kenaikan tersebut dan menyifatkan tindakan MPKK itu tidak bertanggungjawab dan membelakangi suara hati serta rintihan rakyat.
Dalam pada itu, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss mempersoalkan kenaikan cukai pintu yang dikenakan kepada penduduk seolah-olah tiada sumber lain yang mampu dicari bagi mendapatkan peningkatan pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Adakah juga melalui cukai taksiran ini bagi menampung semua bentuk perbelanjaan seperti kos pengurusan dan pembangunan serta menampung kos emolumen pentadbiran mereka?
“Tidak sepatutnya MPKK mengaut pendapatan dengan membebankan rakyat, cukuplah rakyat tersiksa ketika ini” tegasnya.
Beliau mengharapkan agar MPKK mengaut segala hutang yang mencecah RM4 juta yang belum diselesaikan oleh pihak-pihak tertentu dan bukannya menaikkan cukai pintu.
Seorang penduduk, Husnul Zulkarnain berkata, MPKK seharusnya mengambil kira pandangan golongan kurang berkemampuan kesan daripada kenaikan yang disifatkan melampau itu.
Kata beliau, kenaikan tersebut telah menambahkan lagi bebanan rakyat disaat kos kehidupan yang semakin meningkat ketika ini.
“MPKK seharusnya mengambil kira isi hati penduduk sebelum membuat keputusan (menaikkan cukai), kenaikan melampau ini memberikan satu bebanan besar kepada rakyat.
“Kami rasa tertekan, apalah nasib kami jika kami tidak mampu untuk membayarnya,” katanya lagi.