Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, menyarankan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberi tuisyen percuma tentang peruntukan Seksyen 503 Kanun Keseksaan.
Pengarahnya, Norazmir Zakaria berkata kenyataan bahawa tidak salah menawarkan penampar kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti yang dibuat NGO pro Umno hanya menyerlahkan kedangkalan menteri Umno itu.
“Adalah sangat tidak munasabah dan cukup dangkal bagi seorang menteri kanan yang menjaga soal keselamatan negara bila mengatakan hanya jika tawaran membunuh YB Teresa dikeluarkan oleh NGO terbabit, barulah ianya dikira sebagai suatu kesalahan.
“Jika sebegitu sekali jahilnya Zahid tentang undang-undang, maka Juham merasakan adalah sangat wajar sekiranya Penasihat Undang-Undang KDN atau Penasihat Undang-Undang Umno memberi ‘tuisyen percuma’ bagi ‘menyekolahkan’ Zahid,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, dalam isu ini juga, memperlihatkan agensi penguatkuasa seperti berat sebelah dan double standard lebih-lebih lagi jika ianya berkait dengan Umno.
“Ini membenarkan sangkaan selama ini bahawa di Malaysia wujud dua set undang-undang yang berbeza dari segi penguatkuasaannya iaitu untuk pemimpin Umno BNdan seluruh suku sakat serta penyokongnya dan satu set lagi untuk rakyat biasa terutama yang tidak menyokong Umno BN,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Seksyen 503 memperuntukkan bahawa perbuatan melakukan intimidasi jenayah adalah suatu kesalahan jenayah dan ianya boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun yang sama iaitu penjara sehingga selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jika dibaca lanjut Seksyen 506 tersebut katanya, sekiranya intimidasi jenayah itu dilakukan hingga ke tahap melakukan ugutan untuk membunuh atau mengakibatkan kecederaan teruk (grievous hurt) kepada seseorang, si pelaku boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
“Jika dilihat peruntukan Seksyen 506 ini, jelas menunjukkan bahawa kenyataan Zahid bahawa hanya jika tawaran membunuh Teresa dikeluarkan barulah ianya dianggap sebagai satu kesalahan jenayah, adalah suatu kenyataan yang menyalahi sama sekali hakikat sebenar peruntukan undang-undang berkaitan perkata tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan kenyataan penasihat undang-undang kepada NGO-NGO pro-Umno terbabit yang secara janggal ‘mengaplikasikan’ teori asas di dalam undang-undang kontrak apabila beliau menyatakan bahawa tawaran menampar tersebut adalah sekadar ‘invitation to treat’ dan bukannya satu ancaman.
Menyifatkan ianya sebagai kenyataan yang melucukan, Norazmir yakin kenyataan tersebut dibuat kerana terlalu ghairah mempertahankan perkara yang salah hingga sanggup mengeluarkan teori-teori pelik.
“Padahal persoalan samada tawaran tersebut adalah benar-benar suatu ‘offer’ atau hanya ‘invitation to treat’ adalah tidak relevan sama sekali kerana isu di sini bukanlah suatu dispute berkaitan dengan mana-mana kontrak atau perjanjian di antara mana-mana pihak yang bertelagah.
“Undang-Undang Kontrak adalah suatu cabang di bawah undang-undang sivil dan tidak berkaitan dengan persoalan undang-undang jenayah. Tetapi tawaran menampar ini jelas suatu isu jenayah yang berkaitan dengan ancaman untuk mencederakan seseorang di luar dari batas undang,” ujar beliau lagi.
Peguam tersebut jelasnya, cuba menunjuk jaguh kononnya pakar di dalam undang-undang, tetapi nampaknya dia juga tidak memahami sepenuhnya peruntukan di dalam Akta Kontrak 1950.
Dalam hal ini kata Norazmir, jika sekalipun terdapatnya ‘offer’, ‘acceptance’ dan ‘consideration’ yang memenuhi rukun asas dalam sesuatu kontrak, ianya tetap merupakan suatu kontrak yang tidak sah (void) kerana tawaran menampar seseorang adalah suatu jenayah dan dengan itu ianya adalah perkara yang menyalahi undang-undang (unlawful) sebagaimana peruntukan Seksyen 24 dan Seksyen 25 Akta Kontrak 1950.