Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merasa kecewa perbuatan khurafat dan syirik di Negeri Perak masih berluluasa dan masih diamalkan walaupun Mufti Negeri Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria telah menegur ‘Raja Bomoh’ yang popular selepas kejadian kehilangan pesawat MH370, Datuk Ibrahim Mat Zin agar bertaubat kerana perbuatannya yang bercanggah dengan Islam.
Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata jabatan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) tidak seharusnya membiarkan Ibrahim meneruskan ritual di negeri itu tanpa diambil sebarang tindakan.
“Video Raja Bomoh menjalankan ritual ‘Pencarian MH370’ di Pulau Sembilan yang terletak berhampiran bandar Manjung seperti dalam youtube dikatakan ‘menyeru’ agar ‘mayat-mayat’ MH370 timbul amat mendukacitakan.
“Persoalan kami, dimanakah peranan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di dalam mencegah dan menghalang perbuatan khurafat dan syirik terus diamalkan?
“Kami akui, Datuk Ibrahim yang tinggal di Perak dan ramai kenalan pembesar-pembesar negeri ini. Bagaimanapun tidak sepatutnya beliau terlepas begitu sahaja.
“Kami mendesak agar JAIPk bertindak dan menghentikan perbuatan yang jelas bercanggah dengan Islam tersebut. Jika Datuk Ibrahim tidak diambil tindakan, ianya seolah-oleh bahawa Datuk Ibrahim ‘amat kebal’ dan tidak ‘boleh disentuh’!” katanya.