Wanita Pertama Malaysia sejak negara merdeka hanyalah Permaisuri Agong. Gelaran itu termaktub dalam perlembagaan. Namun sejak 2010 gelaran Wanita Pertama negara telah mula dikongsi oleh beberapa orang wanita isteri kepada ahli politik Barisan Nasional.
Isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor telah digelar wanita pertama dengan wujudnya First Lady Division seperti mana yang terpapar di dalam website Jabatan Perdana Menteri. Terbaharu, beberapa hari lalu isteri Ketua Menteri Sarawak Ragad Waleed Alkurdi pula dinobatkan sebagai Wanita Pertama Sarawak.
Tentunya situasi yang tidak menyenangkan ini akan merebak pula kepada isteri-isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri BN yang lain. Apabila wujud gelaran dan diwujudkan pula bajet khusus untuk menguruskan wanita pertama ini tentulah rakyat yang akan menanggung beban kewangan terutama apabila wanita pertama melawat keluar negara. Segala perbelanjaan membeli-belah, hotel, makan-minum dan pembantu mereka terpaksa dibayar oleh rakyat.
Menurut ahli parlimen Ampang yang juga Ketua Wanita PKR, kewujudan gelaran wanita pertama adalah lambang ketamakan pemimpin BN dalam menjarah kekayaan negara untuk kepentingan isteri dan keluarga masing-masing.
“Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud ‘menganugerahkan’ isterinya Ragad Waleed Alkurdi pangkat Wanita Pertama Sarawak. Inilah bukti nyata sikap tamak haloba dan tabiat gila pangkat pemimpin Umno-BN yang kini sudah berada di tahap ekstrem. Saya yakin, selepas ini akan ada lebih ramai isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri yang menuntut pangkat baharu ciptaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu
“Sedangkan rakyat bawahan menderita menanggung bebanan kenaikan harga barang dan hutang yang semakin bertambah, pemimpin Umno-BN pula sibuk mengagih-agihkan kekayaan dan pangkat buat kaum keluarga dan kroni mereka,” tempelak Zuraida.
Beliau mengingatkan agar Perdana Menteri atau Ketua Menteri tidak berlebih-lebihan dalam melayani kerenah isteri masing-masing.
Jadikanlah apa yang berlaku ke atas diktator Asia Barat seperti Mubarak dan Zin Abidin yang isteri mereka kaya-raya tetapi dimusuhi rakyat sebagai iktibar. Atau pun mereka juga akan menerima nasib yang sama.
“Mungkin inilah tanda-tanda mereka sedar bahawa kuasa perubahan rakyat semakin mara, dan kekalahan BN pada PRU13 nanti adalah suatu yang tidak mustahil. Maka, sebelum terlambat pengkorup harta rakyat ini segera mengaut harta dan pangkat buat saraan sehingga 7 keturunan sebelum dijatuhkan oleh kuasa rakyat kelak,” bidasnya.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.