Oleh: Khaulah Azwar
Gombak: Malang tidak berbau ke atas 20 peniaga gerai makan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang telah hilang mata pencarian akibat berlakunya kebakaran pada malam 5 Mac lalu.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali melawat mangsa bersama Adun Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali. Menurut Azmin beliau dan kerajaan negeri akan berusaha dalam masa yang terdekat bagi memudahkan peniaga meneruskan perniagaan mereka
“Insya-allah kita akan adakan mesyuarat khas di PKM DUN Gombak Setia bersama Majlis Perbandaran Selayang, Bomba, Ahli-Ahli Majlis, ketua kampung untuk tindakan segera bagi memastikan peniaga di sini dapat meneruskan perniagaan dalam tempoh terdekat.
“Kita harap tidak berlaku sebarang provokasi daripada mana-mana pihak kerana kita telah meminta pihak polis dan bomba membuat siasatan punca kebakaran ini”, katanya.
ADUN Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali pula mengumumkan mangsa yang terlibat akan menerima gerai sementara bagi memudahkan mereka meneruskan perniagaan seperti sedia-kala sehingga gerai kekal dibina.
“Sebagai ADUN Gombak Setia saya bertanggungjawab untuk membantu rakyat. Insya-allah 20 mangsa yang terlibat ini akan menerima bantuan gerai sementara agar mereka boleh meneruskan perniagaan dalam tempoh terdekat .
“Saya, Y.B Azmin Ali bersama Ahli-Ahli Majlis yang hadir pagi ini di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) telah berbincang dan bersetuju agar gerai sementara akan ditempatkan di kawasan parking berdekatan dan semua peniaga telah bersetuju.
“Dalam masa yang sama saya berharap agar pihak MPS dapat menyediakan laporan selengkapnya serta peruntukkan bagi menyediakan gerai sementara waktu untuk 20 mangsa yang terlibat. Saya akan memantau penyelesaian isu mangsa kebakaran ini secepatnya,” janji Dr Hassan.
Sementara itu, mangsa kebakaran Dahlia Salehuddin, 35 tahun, peniaga satay dan nasi ayam yang mempunyai 3 orang anak masih bersekolah merasa terkejut dengan apa yang telah berlaku.
“Ketika kejadian saya baru balik membeli barang keperluan berniaga. Saya lihat api marak begitu besar yang melibatkan keseluruhan kedai di sini. Saya tidak pasti punca kebakaran.
“Saya mengalami kerugian sebanyak RM30,000. Saya harap ADUN Gombak Setia Datuk Hasan dan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dapat membantu kami yang rata-rata di sini golongan susah.
Siti Mariani Ismail , 50 tahun pula berkata “Saya sudah meniaga di sini selama 20 tahun dan selama berniaga tidak pernah berlaku kejadian seperti ini. Memang saya benar-benar terkejut. Semasa kejadian saya baru balik daripada solat isya di rumah dan selepas solat ingin ke gerai namun hati saya tersentap apabila melihat api marak”.
“Tukang masak saya yang sedang masak di gerai kata beliau nampak lintasan api daripada pencawang elektrik di sini. Mujur dia tidak mengalami kecederaan yang serius.
“Saya amat berharap dapat meneruskan perniagaan.Inilah salah satu mata pencarian saya untuk menanggung 3 anak yang bersekolah. Seorang anak saya bersekolah di Pondok Tahfiz Bandung, Indonesia sedang menghadapi peperiksaan, dua orang lagi bersekolah di Sekolah Asrama dan Sekolah Menengah. Mereka tidak tahu kejadian ini kerana tidak mahu tumpuan pelajaran mereka terjejas.
“Sekiranya saya tidak dapat meneruskan perniagaan sukar untuk saya membiayai yuran anak-anak. Kerugian yang saya tanggung sekarang sebanyak RM16,300. Suami saya pula sudah tua dan tidak mampu bekerja kuat
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Gombak Setia dan Ahli Parlimen Gombak yang sudi turun padang melawat kami memberi nafas baru untuk membantu semua peniaga di sini. Keperihatinan pimpinan Kerajaan PR bersama agensi yang terlibat amat kami hargai,” katanya.
Turut hadir bersama YDP MPS, Bomba, Polis, Ahli-Ahli MPS Zon Gombak Khatifah Zamani Sulong, Maznah Abdul Aziz, Husnal, Nazir -Nazir Masjid DUN Gombak Setia dan ketua kampung.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.