Kira-kira 50,000 demonstran memenuhi Jalan Tunku Abdul Rahman di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.
Mereka datang dari empat penjuru Kuala Lumpur; Sogo, Masjid Negara, Brickfields dan KLCC. Kemuncak demonstrasi, peserta duduk mendengar ucapan pemimpin NGO dan Pakatan Rakyat dari pukul 3.00 p.m hingga 4.30 pm apabila Ketua Umum KEADILAN Anwar Ibrahim membuat ucapan penutup.
4.30pm Dataran Merdeka – Anwar memberi amaran rakyat tidak mampu menunggu sehingga pilihan raya umum ke 14 untuk menumbangkan BN. Penderitaan yang disengakan BN melalui cukai GST akan ditentang rakyat secara habis-habisan.
“Jika kita kerajaan, kita perlu dengar cakap kerajaan atau kerajaan dengar cakap kita?
“Pemimpin Pakatan masih mungkin hidup dalam keadaan sedikit selesa tetapi rakyat (marhaen) tidak mampu menunggu sehingga pilihan raya ke 14 untuk menjatuhkan BN,” katanya
Anwar juga berkata, perhimpunan hari ini yang dijayakan oleh Mat Sabu akan digerakkan sekali lagi sehingga kerajaan menghentikan pelaksanaan GST.
Kumpulan peserta seterusnya bersurai selepas bacaan doa dan turut mengutip sampah termasuk botol plastik dan beg plastik.
4.12pm Dataran Merdeka Timbalan presiden PAS kembali ke pentas untuk meminta peserta agar tidak berganjak. Acara akan berakhir sebelum waktu solat Asar, jam 4.31 petang.
“Hujan ini hanya gimik. Kita rasa panas jadi hujan ini akan sejukkan badan kita,” katanya dengan bergurau.
4.02pm Dataran Merdeka – Guruh bergema di kawasan perhimpunan manakala awan gelap menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.
3.45pm Dataran Merdeka – Jumlah peserta dianggarkan meningkat kepada 30,000 orang. Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan berucap tidak lama lagi.
3.30pm Dataran Merdeka – Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dalam ucapannya membangkitkan bahawa kerajaan melaksana GST kerana tidak mampu menguruskan isu rasuah, pembaziran dan salah guna kuasa.
Jangan tindas rakyat dengan kegagalan pentadbiran kamu. Rakyat diseksa, cukup kami diseksa, cukup di sini.
“Bawah pentadbiran baru, bukan hanya Altantuya yang hilang, enjin jet hilang malah kapal juga hilang.
“Ini menunjukkan kegagalan pentadbiran di Malaysia,” katanya disambut gelak ketawa hadirin.
Sementara itu, timbalan presiden PKR Azmin Ali dalam ucapannya berkata perhimpunan hari ini berlangsung di hadapan bangunan menempatkan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.
“Hari ini (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak mahu ulangi tindakan sama dan hukuman sama.
“Kita mahu ingatkan perdana menteri, jangan cuba tindas rakyat dan Anwar Ibrahim.
“Jangan sentuh Anwar Ibrahim. Rakyat Malaysia tidak akan benarkan Anwar dipenjara, biarpun sesaat,” katanya.
2:40pm Dataran Merdeka – Jumlah peserta semakin bertambah dan saling himpit menghimpit antara satu sama lain.
2.38pm Dataran Merdeka – Jumlah peserta yang berarak dari Masjid Negara bertambah kepada 25,000 orang apabila disertai oleh kumpulan yang tiba lebih awal di persimpangan Jalan Tun Perak – Jalan TAR.
Setiausaha Pemuda PAS Mohd Nasaie Ismail melaungkan “Merdeka” sebaik mereka tiba di kawasan Dataran Merdeka.
2:30pm Dataran Merdeka – Kedua-dua kumpulan, dari Jalan TAR dan Masjid Negara bergabung di Jalan Raja, di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Mereka mengibar bendera dan petugas yang membawa pembesar suara tidak putus-putus melaungkan “Merdeka” dan “Tolak GST” dengan disambut orang ramai.
2.30pm Jalan Ampang – Kumpulan peserta di KLCC mula berarak ke arah Dataran Merdeka dengan bendera berwarna merah kelihatan membanjiri Jalan ampang berdepan bangunan Avenue K.
Kumpulan ini diketuai Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan dan mereka berarak sambil berselawat ke atas nabi diikuti laungan “Bangkit! Bangkit! Bangkit rakyat!”.
Bas dan teksi juga terperangkap dalam kesesakan di belakang kumpulan peserta ini yang berjalan perlahan-lahan menuju ke Dataran Merdeka.
Turut kelihatan berarak bersama kumpulan ini adalah bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga dan pengasas NGO Suaram, Dr kua Kia Soong.
2.16pm Masjid Negara – Ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bersama beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat mengetuai lebih 5,000 peserta yang baru selesai menunaikan solat Zohor untuk berarak ke Dataran Merdeka.
Mereka melaungkan slogan “Hancur BN”, “Hancur GST” dan “Hancur BN” sambil diawasi oleh Unit Amal PAS.
Jumlah peserta, termasuk di Jalan Ampang, di persimpangan Jalan TAR dan Jalan Tun Perak serta di Dataran Maybank, kini mencecah 10,000 orang.
2pm KLCC – Peserta himpunan sejumlah 5,000 orang duduk mendengar ucapan beberapa wakil NGO di antaranya merupakan aktivis siswa, Mohd Bukhairy Sufian, dan aktivis anti-Lynas, Wong Tack.
1.20pm Jalan TAR – Kira-kira 1,000 peserta yang berarak dari Sogo tiba di persimpangan jalan TAR – Jalan Tun Perak.
Sebilangan daripadanya berteduh di bawah pokok dan juga di bawah landasan LRT sementara menunggu kumpulan lain.
1.10pm Masjid Negara Seorang petugas Unit Amal daripada PAS Hulu Langat memaklumkan kepada peserta supaya tidak termakan dengan pelekat dengan slogan “Hudud For All, Muslim and Non Muslim (Hudud untuk semua, Islam dan bukan Islam)”.
Petugas itu memaklumkan bahawa satu tindakan provokasi daripada pihak tidak bertanggungjawab dan ia bukan dikeluarkan oleh pihak penganjur.
“Ia bukan daripada pihak kita. Ini untuk provokasi kepada perhimpunan aman kita,” kata petugas Unit Amal itu.
Kata petugas parti PAS yang lain, pelekat itu ditemui oleh petugas unit Amal dalam jumlah yang “banyak”.
Dia juga turut menunjukkan pelekat tersebut kepada para wartawan dan jurugambar.
1pm Sogo – Kira-kira 2,000 peserta himpunan kini mula berarak dari pusat membeli belah Sogo ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Pergerakan peserta himpunan itu yang memenuhi ruang jalan raya tersebut menghalang laluan lalu lintas di jalan berkenaan.
Jalan Ampang dekat KLCC – Kira-kira 300 orang dengan sebahagian besarnya berbaju T merah sudah berkumpul di depan pintu masuk KLCC berhampiran Jalan Ampang.
Sebahagian hadirin juga kelihatan memakai baju hitam SAMM dan antara personaliti yang kelihatan adalah Chegubard dan bekas ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.
1.00pm Masjid Negara Peserta Protes Anti-GST berbondong-bondong menuju ke Masjid Negara menunaikan solat Zohor berjemaah.
12.37pm Dataran Merdeka – Dua orang pelancong China ketika ditemui berkata mereka tidak bimbang dengan kehadiran lebih 100 orang anggota polis yang mengelilingi Dataran Merdeka.
Seorang daripadanya yang enggan dikenali berkata perhimpunan tersebut menunjukkan kerajaan sedia mendengar suara rakyat.
“Kami tidak terkejut mahupun bimbang,” katanya yang menambah suasana seperti itu amat jarang berlaku di China.
Walaupun kawasan padang itu ditutup, polis tetap membenarkan pelancong melepasi sekatan untuk bergambar di kawasan tersebut
Dataran Maybank, KL – Seramai 200 orang berhimpun dengan membawa kain rentang dengan slogan ‘GST bebankan rakyat’ dan ‘Derita Derita Derita’.
Seramai kira-kira 50 orang anggota Unit Amal PAS sudahpun mengambil tempat namun pemimpin parti politik masih belum kelihatan.
KLCC – Kelihatan sekumpulan lima orang lelaki berpakaian baju-T merah dipercayai peserta himpunan hari ini berlegar-legar di kawasan air pancut Taman KLCC.
Empat orang polis berpakaian seragam tanpa lencara dilihat berkawal kira-kira lima meter dari kumpulan terbabit.
11.50am Sogo – Seramai 500 orang memenuhi di hadapan pintu masuk kompleks tersebut.
Ramai di kalangan peserta berkenaan mengambil peluang dengan dua pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan Datuk Kamaruddin di ruang tersebut.
Selain itu, para peserta juga mengambil kesempatan untuk bersarapan di kedai roti mewah The Loaf, di perkarangan kompleks berkenaan sambil melihat-lihat kumpulan orang ramai.