Ulasan: Saya melalui sepanjang jalan Seri Iskandar terlihat banyak banting-banting promosi di tiang jalan yang memaklumkan tentang Karnival Halal Perak 2014 yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang julung-julung kalinya diadakan.
Karnival yang diadakan di Tapak Ekspo Seri Iskandar tersebut mewarnai karnival-karnival lainnya seperti Karnival Tibbuna di Mydin Mall Meru, Karnival Raudhah Dihatiku TV9 di Stadium Perak, Ipoh dan Karnival Ulangtahun TLDM Ke-80 di Lumut.
Ianya merupakan platform terbaik untuk menggalakkan peniaga-peniaga di negeri ini mendapatkan sijil halal bagi produk keluaran mereka selain sebagai platform untuk orang ramai untuk mendapatkan pelbagai informasi dan produk halal di negara ini dalam masa yang sama.
Selain karnival yang dianjurkan, JAIPk juga mengadakan Kempen Jom Solat Peringkat Negeri sebahagian kempen berskala dari segi seminar, bengkel dan ceramah-ceramah termasuk diperkampungan masyarakat Orang Asli bagi tujuan kempen yang dijalankan.
Selain itu, karnival tersebut membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk mempromosikan produk halal mereka dari seluruh negara yang turut melibatkan 53 jabatan kerajaan, agensi korporat serta peniaga-peniaga kecil yang ingin mengambil peluang mempromosi produk mereka.
Bercakap tentang aspek piawaian halal kepada pengguna yang melibatkan permakanan mahupun produk-produk lain yang merupakan sesuatu tersangat dekat dengan rakyat khususnya yang beragama Islam termasuk meningkatkan ilmu pengetahuan pengguna terhadap produk-produk halal.
Secara peribadi, saya menyokong penuh usaha kerajaan negeri ini dan ianya sewajarnya diteruskan menjadi program tahunan dan memberikan impak besar kepada masyarakat Islam mahupun bukan Islam tentang produk-produk halal yang ada dalam negara dan negeri kita.
Akan tetapi yang menyedihkan, ianya seolah-olah tidak mendapat sokongan pimpinan utama kerajaan negeri dan hanya bersifatkan ‘melepaskan batuk ditangga’ semata-mata dan akhirnya keberhasilannya juga amat menghampakan dan cukup menyedihkan.
Jika kita lihat penganjuran karnival seumpamanya di negeri-negeri lain, ‘orang nombor satu’ negeri tersebut mesti turun bersama, malah akan merasmikan karnival tersebut sebagai tanda memberikan sokongan dan menggalakkan program tersebut serta menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri tersebut.
Di Perak hanya Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Drs Mohd Nizar Zakaria sahaja yang merasmikannya dan secara kebetulan beliau ‘orang tempatan’ yang datangnya dari Parlimen kawasan Parit juga.
Saya dimaklumkan oleh peniaga-peniaga karnival tersebut merasakan sungguh sedih kerana sambutan diingin daripada masyarakat walaupun beberapa program sampingan seperti ceramah, persembahan nasyid dan persembahan hiburan seni Islam di tapak tersebut tidak cukup sebagai penarik.
Jika kita lihat di Karnival Ulangtahun TLDM di malam program Selawat Perdana Malam Cinta Rasul yang turut di hadiri oleh Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir dilaporkan oleh media lebih 20 ribu orang hadir memenuhi tapak karnival pada malam tersebut.
Saya kembalikan kepada rakyat Perak atas penilaian dan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri serta keseriusan menjadikan Karnival Halal ini sebagai salah satu pentas program berimpak tinggi dan meletakkan produk Halal yang dikeluarkan peniaga diiktiraf diatas penganjuran tersebut.
*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Perak dan juga Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar, Bandar DiRaja