Tempoh pengundian yang tamat pada jam 5.00 petang tadi menyaksikan pilihan raya kecil yang amat sengit di Teluk Intan. Kedua-dua pihak BN dan PR menyatakan mempunyai peluang untuk menang.
Bagaimanapun, pemerhati politik meramalkan faktor keluar mengundi adalah petunjuk awal kepada pemenang bagi pilihan raya kecil itu. Sehingga tengah hari malangnya jumlah keluar mengundi hanyalah 47 peratus dan apabila pusat mengundi ditutup jumlah yang keluar tidak lebih daripada 65 peratus.
Pemerhati berpendapat DAP sukar mengekalkan kemenangan berikutan jumlah keluar mengundi di bawah 70 peratus. Orang lama DAP yang diminta pendapat oleh media berkata sekiranya jumlah keluar mengundi sekitar 80 peratus maka DAP berpotensi untuk menang.
Namun beberapa pemerhati politik yang menilai situasi berpendapat DAP masih berpeluang menang berdasarkan faktor keluar mengundi yang tinggi di kubu kuat parti itu di DUN Pasir Bedamar.
Malah calon BN Datuk Mah pada tengah hari melahirkan kebimbangan mengenai faktor keluar mengundi yang rendah di DUN Changkat Jong yang dimenangi BN pada PRU 13 lalu.
Sebahagiannya kerana pengundi India yang bekerja separuh hari di ladang-ladang kawasan itu masih belum keluar mengundi. Pengundi India dijangka akan membalas dendam ke atas DAP kerana enggan mencalonkan semula bekas ahli parlimen Teluk Intan M Mogaran. sebaliknya mencalonkan ahli politik muda Dyana Sofya.
Berkemungkinan pengundi India penyokong DAP akan memulaukan PRK dan menyukarkan parti itu untuk mendapat simple majoriti mengalahkan BN.
Walau bagaimanapun, tinjauan oleh sebuah institut yang menjalankan kajian ke atas sample 400 pengundi baru-baru ini mendapati sokongan pengundi Melayu – pengundi kedua terbanyak – di Teluk Intan meningkat 5 – 7 peratus. Sekiranya undi golongan muda Melayu menjadi kenyataan maka DAP berpeluang menang.
Sebagaimana ramalan sebelum ini, sekiranya DAP kalah tidak akan lebih 1,000 undi dan jika menang dalam lingkungan 800 undi.
LAPORAN LANGSUNG
5pm: Tempoh pengundian berakhir.
4.38pm: Menurut SPR, jumlah keluar mengundi di Teluk Intan mencapai tahap 38,158 orang atau 63.67 peratus menjelang jam 4pm.
Jumlah keluar mengundi paling besar untuk kawasan parlimen ini direkodkan pada 2013, dengan 48,649 pengundi (80.4%)
Penyandangan kerusi tersebut, Seah memenangi kerusi tersebut dengan 56.32% undi (dengan majoriti 15%).
3.45pm: SK Kg Bahagia – Dengan tempoh mengundi tinggal kira-kira satu jam sahaja lagi, penyokong-penyokong BN masih lagi bersorak-sorak dan mengejek penyokong DAP.
Kedua-dua kumpulan berkenaan hanya dipisahkan kira-kira lima meter sahaja dari mereka.
Mereka mengulangi sorakan “Abang polis baik”, “DAP komunis”, dan “Lim Kit Siang bodoh” berulang kali.
3.40pm Menurut SPR, seramai 58.36 peratus atau 34,974 pengundi sudah menunaikan tanggungjawab setakat jam 3 petang.
3.30pm: MP Bukit Bendera Zairil Khir Johari mengesahkan kenderaan yang dinaiki Dyana diketuk dengan satu tiang bendera ketika kereta tersebut melalui sekumpulan penyokong BN.
Kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kerosakan.
“Selain daripada itu, mereka hanya menyorak dan mengejek,” katanya.
2.57pm: Kg Bahagia – MP Batu Kawan, Kasthuri Patto mendakwa kereta yang dinaiki Dyana menjadi sasaran serangan oleh para penyokong BN yang menggunakan bendera parti untuk mengetuk kenderaan tersebut.
“Kereta calon dipukul dengan bendera BN di Kampung Bahagia. Jerita ‘barua DAP’ dan ‘pengkhianat’ kedengara,” tulisnya di Twitter.
Parti DAP melalui akaun rasmi Twitter turut melaporkan insiden sama, dengan menyertakan gambar penyokong BN cuba menyentuh satu kenderaan menggunakan bendera BN yang dipasang pada galah panjang.
Pusat pengundian Kampung Bahagia, yang menjadi tumpuan para penyokong hari ini, mempunyai tujuh saluran dengan lebih 3,000 pengundi.
Ia merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu (90 peratus). Selebihnya, 5 peratus pengundi Cina dan 4 peratus India.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN menang di kesemua tujuh saluran, namun dengna majoriti yang kecil.
Secara keseluruhannya, ia meraih lebih 1,900 undi daripada tujuh saluran berbanding 1,100 undi yang diraih DAP.
2.30pm: Menurut SPR, jumlah yang keluar mengundi setakat jam 2 petang adalah 52.21 peratus atau 31,286 pengundi.
2pm: Ketua polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kekecohan yang berlaku di dua kawasan mengundi pada pagi ini terkawal.
Laporan Bernama menyebut, beliau berkata kekecohan berlaku
disebabkan keghairahan kedua-dua penyokong parti melakukan provokasi untuk meraih undi di saat-saat akhir.
Salah satu kejadian itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia dan satu lagi di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam.
“Kekecohan yang berlaku berjaya dikawal anggota yang bertugas,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
2pm: Kampung Bahagia, tiada sebarang insiden berlaku ketika Dyana melawat pusat pengundia di Kampung Bahagia.
Bagaimanapun, kumpulan Pemuda BN masih lagi melaungkan slogan dan bertekak dengan kumpulan dari kem DAP walau rembang petang semakin membahang.
Antara yang dikesan di kalangan kumpulan Pemuda BN itu ialah MP Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mengibar satu bendera sambil dijulang oleh para penyokongnya.
Beliau dilihat mengibar bendera itu ke arah kumpulan penyokong DAP.
Sementara itu, satu gambar didakwa menunjukkan Tajuddin berada di dalam satu kawasan pusat pengundian menjadi tumpuan di laman sosial.
Pengguna laman sosial mempersoalkan perkara itu kerana Tajuddin dilihat tidak memakai pas SPR untuk membolehkan beliau berada dalam kawasan pusat pengundian.
Gambar itu juga menunjukkan Tajuddin memakai baju dengan lambang BN.
MP DAP Ong Kiang Ming di Twitter menyebut, semakannya menunjukkan Tajuddin adalah pengundi kawasan Pasir Salak.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi Tajuddin.
1.30pm: Menurut SPR, jumlah keluar mengundi setakat jam 1pm adalah 46.65 peratus atau 27,955 penugundi.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata sehingga tengah hari ini saluran-saluran mengundi melibatkan pengundi muda mencatatkan jumlah pengundi yang agak rendah.
Dalam kenyataannya, yang disiarkan saluran TV3 melalui program berita ringkas Buletin 1.30 berkata, beliau menjangka pengundi-pengundi ini akan keluar mengundi di sebelah petang.
“Orang muda ini lewat sikit. Diorang mungkin tidur lewat malam tadi,” katanya.
1.10pm: SPR menyebut, 40.13 peratus atau 24,050 pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka setakat tengahari, lapor Bernama.
12.30 tengahari: Pusat media – Calon BN Datuk Mah Siew Keong mendakwa Malaysiakini tidak melaporkan dengan tepat kenyataannya mengenai pengundi luar kawasan di Teluk Intan.
“Anda perlu melihat konteks keseluruhan ucapan,” kata Mah, merujuk kepada satu laporan semalam di mana beliau menggesa pengundi tempatan supaya tidak membiarkan pengundi luar kawasan menentukan nasib Teluk Intan.
“Saya tidak kata mereka orang luar, mereka juga adalah anak-anak tempatan di sini,” katanya sambil menambah bahawa beliau hanya berkata mereka harus berunding dengan ibu bapa mereka sebelum membuat keputusan.
Mah, yang melawat semua daerah mengundi pagi ini, berkata jumlah keluar mengundi di kawasan Pasir Bedamar, kubu kuat DAP adalah sangat tinggi, tetapi beliau meramalkan jumlah keluar mengundi keseluruhannya juga akan tinggi apabila proses pengundian selesai.
“Masih terdapat banyak kereta datang dari Kuala Lumpur dan Selangor. Dan juga ramai yang bekerja separuh hari di estet hari ini. Lebih ramai yang akan mengundi pada sebelah petang,” katanya.
11.15 pagi: Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusoff berkata ketegangan (lihat video) yang berlaku di Kampung Bahagia adalah “tidak serius” kerana ia tidak membabit “fizikal”.
Bercakap kepada pemberita, beliau berpendapat ia disebabkan jalan yang kecil menujukk sekolah berkenaan,” katanya.
Abdul Aziz juga mengatakan bahawa seramai 13,754 pengundi telah mengundi sehingga jam 10 pagi dan 23 peratus sudah keluar mengundi setakat ini.
Katanya, kadar pengundian ialah 10 peratus setiap satu jam.
11.10 pagi: Kampung Kerentina – Seorang pekerja kempen BN menghalang wartawan Malaysiakini daripada mengambil buku kecil dan risalah percuma dari kaunter parti itu di luar tempat mengundi itu.
“Anda dari Malaysiakini, anda putar (cerita) sepanjang masa dan anda tidak boleh ambil ini,” katanya.
Apabila wartawan menyebut yang ianya diedar percuma, lelaki itu menjawab: “Ya ia percuma tetapi kamu tak boleh ambil.”
Risalah itu memaparkan gambar Dyana dan Lim Kit Siang, dan menuduh mereka sebagai pengkhianat manakala muka depan buku kecil itu menunjukkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi tidak diketahui kandungannya.
Sementara itu, Menteri besar Perak tiba dan berjabat tangan dengan pekerja kempen.
Pada masa yang sama, penyokong PAS membawa poster Dyana dan menggesa orang ramai mengundinya. Seorang wanita berpakaian seragam Puteri Umno menjawab: “Kak, dia tak sokong hudud”.
11.12 pagi: Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, kadar peratusan pengundian pada jam 10 pagi ialah 22.95 peratus.
10.45 pagi: Jalan Padang Tembak – lalulintas mulai sesak di sepanjang Jalan Padang Tembak, jalan utama menuju ke bandar di mana terletaknya beberapa sekolah yang dijadikan pusat mengundi.
Walaupun kebanyakan kereta menggunakan nombor plat Perak dan KL, tetapi kelihatan juga beberapa kenderaan dari Johor dan Pulau Pinang.
Sekurang-kurangnya dua buah sekolah dan pusat mengundi terletak di sepanjang jalan ini.
Di pusat mengundi SMK Sultan Abdul Samad, terdapat dua adik beradik pengundi dari luar kawasan.
“Saya tak pasti sama ada undi saya akan membawa sebarang perubahan, tetapi saya mahu lebih suara pembangkang di Parlimen,” kata Khor, 31, seorang akauntan.
Katanya, kenyataan calon BN Datuk Mah Siew Keong mengenai pengundi luar kawasan telah menimbulkan kemarahan warta maya dan menurutnya Mah tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu.
Ditanya sama ada warga maya yang berang itu akan balik mengundi, beliau berkata, ramai daripada mereka telah pun menukar alamat mengundi mereka keluar dari Teluk Intan.
Katanya, tarikh mengundi jatuh pada cuti sekolah, jadi beliau membawa anak-anaknya untuk menziarah ibunya.
10.30 pagi: Kampung Bahagia – penyokong BN dan DAP masih bertekak antara satu sama lain serta menggunakan perkataan kesat.
Di pihak DAP agak tenang dengan hanya dua atau tiga orang sahaja yang bertindak membalas jeritan Pemuda BN di bawah pancaran panas matahari.
Anggota polis memerhati dan memantau keadaan tersebut.
10.15 pagi: SMK Sultan Abdul Aziz – Di pusat mengundi bandar di Jalan Batak Rabit Utara, BN dan penyokongnya hampir tiada kelihatan di situ.
Appanah Butchiah , 77, bersama isterinya berkata mereka akan mengundi calon BN Datuk Mah Siew Keong, yang mereka rasa dapat membawa pembangunan ke Teluk Intan.
“BN telah membantu golongan miskin, mereka membantu saya juga, saya miskin,” kata beliau.
Katanya, beliau tahu orang mendapat hamper, tetapi dia tidak berjaya mendapatkannya
Jalan Batak Rabit Utara adalah daerah mengundi yang besar, dengan 75 peratus Cina, 15 peratus India dan 10 peratus Melayu. Dalam PRU13 DAP memperolehi 76 peratus undi di sini.
10.15 pagi: SMK Sultan Abdul Aziz – Salah satu daripada bas yang diatur oleh DAP tiba dari Kuala Lumpur dengan kira-kira 10 pengundi.
Kad yang bertulis ‘Jom Balik Undi, Vote Wisely, Vote for the future of our country diletakkan di bahagian dalam bas itu.
Tiada seorang pun daripada mereka yang mahu ditemubual pihak akhbar di luar kawasan sekolah.
10.00 pagi: SMK Sultan Azlan Shah – Dua wartawan portal bertekak dengan seorang pegawai SPR, yang meminta pihak akhbar supaya keluar dari kawasan sekolah.
Pegawai wanita itu, yang namanya tidak dikenali, mendakwa sekumpulan enam petugas media telah “mengganggu” pengundi.
Wartawan, yang berdiri di hadapan koridor, menjelaskan bahawa mereka hanya menunggu lawatan Dyana.
Berikutan itu, seorang anggota polis datang bercakap dengan pegawai SPR berkenaan, dan pihak media akhirnya dibenarkan menunggu di situ.
Sebelum itu, beberapa jurugambar mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan mengambil gambar di kawasan sekolah.
10.00 pagi: SK Kampung Bahagia – Penyokong BN dan DAP dipisahkan hanya lima meter dari satu sama lain oleh dua buah kenderaan pacuan empat ronda.
Penyokong BN berang apabila penyokong DAP menggantung kangkung dengan wang kertas RM1 di hujung galah.
“Hoi! Kangkung tu turunkan! DAP celaka!” jerit sebahagian penyokong BN ke arah penyokong DAP.
10.00 pagi: Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, kadar peratus pengundian pada jam 9 pagi ialah 11.81 peratus atau 7,080 orang.
Maklumat itu telah dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan di Teluk Intan.
9.50 pagi: Calon BN, Datuk Mah Siew Keong melawat pusat mengundi di SJKC Phooi Yong dan memberitahu pemberita bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya jika beliau kalah.
Mah juga mengatakan beliau tidak tidur kerana peringkat akhir kempen sangat “meletihkan”.
Sementara itu, Dyana ketika melawat ke sini sebelum ini, memberitahu pemberita bahawa beliau “kagum” dengan kehadiran di ceramah kemuncak DAP malam tadi.
9.40 pagi: SJK (C ) Chong Min – Suasana di pusat mengundi kawasan bandar yang menjadi kubu kuat DAP ini tenang, di mana kebanyakan mereka yang mengundi pada sebelah pagi adalah golongan pengundi pertengahan umur dan warga emas.
Pengundi muda tidak ramai kelihatan setakat ini.
Ketua cawangan DAP Bagan, Kaw Nang Hua, 53, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan rakan-rakannya secara sukarelawan memandu membawa pengundi di luar kawasan balik mengundi.
“Saya tinggal di perkampungan nelayan Sabak Bernam, saya memandu membawa beberapa pengundi Teluk Intan yang tinggal di sana, balik mengundi,” katanya.