Ulang tahun ke-100 sambutan hari wanita sedunia tidak begitu bererti bagi wanita Malaysia kerana hak mereka tidak banyak terjamin oleh perlembagaan negara.
Kesaksamaan hak wanita di Malaysia masih lagi menjadi perdebatan biar pun negara ini akan menjadi maju sembilan tahun dari sekarang. Sedangkan di negara maju hak-hak wanita jauh lebih terbela dan dilindungi melalui pelbagai peruntukan undang-undang terhadap sebarang eksploitasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam perutusan sempena Hari Wanita Sedunia. Beliau menyeru agar pemerintah Malaysia berusaha mempertingkatkan hak-hak wanita dan memberi lebih pembelaan kepada golongan yang lemah itu.
“Saya merasa amat kesal apabila wanita di negara-negara maju seluruh dunia mencapai dan menikmati hak mereka, sedangkan di Malaysia masih berlaku sebaliknya.
“Kesaksamaan hak wanita di Malaysia sekadar mendapat pengiktirafan secara formal melalui penambahan perkataan “jantina” dalam Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan sedangkan pada hakikatnya, tafsiran peruntukan ini masih terhad.
“Sebenarnya masih sukar bagi wanita untuk mendapatkan perlindungan yang penuh dan sewajarnya di bawah undang-undang utama Persekutuan, apatah lagi di bawah undang-undang lain. Selain itu, masih terdapat beberapa aspek undang-undang di Malaysia di mana wanita mengalami diskriminasi, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, ataupun di mana hak dan kepentingan wanita gagal dilindungi sepenuhnya.
“Contohnya undang-undang Kanun Keseksaan, Akta Keganasan Rumahtangga dan ketiadaan undang-undang untuk menangani masalah gangguan seksual (“sexual harassment”),” tegasnya yang juga ahli parlimen Ampang.
Menurut Zuraida, hak wanita Penan yang terabai sejak sekian lama misalnya masih tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkuasa Malaysia. Sehingga NGO hak asasi manusia negara Barat campurtangan mendedahkan kaum itu dirogol oleh pekerja pembalakan. Bagaimanapun, kerajaan Malaysia lebih berminat bermain politik, kononnya negara Barat ingin menggugat kestabilan politik daripada serius menyiasat aduan berkenaan.
“Penindasan yang dihadapi wanita Penan adalah salah satu contoh terbaik sebagai bukti. Gadis muda Penan yang telah dieksploitasi sebagai bahan dagangan dan pemuas nafsu pihak berkuasa dan berpengaruh benar-benar sesuatu yang amat menyedihkan. Ibu-bapa Penan terpaksa berdiam diri, takut akan tekanan pentadbiran kuku besi pemerintah. Inikah erti sebuah suasana masyarakat penyayang yang kerajaan BN-Umno anjurkan?
“Maka, dengan merujuk kepada tuntutan Ucapan Dasar Ketua Wanita Keadilan 2010, saya menggesa agar tafsiran Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan diperluaskan dan tidak terlalu terhad, kerana ini membolehkan manipulasi dan penindasan hak kepada wanita secara keras dan Wanita KEADILAN memandang serius perkara ini serta melabelkannya sebagai jenayah disriminasi,” ujarnya.
Beliau turut meminta kerajaan memanjangkan pembelaan ke atas hak wanita yang lebih meluas seperti menguatkuasakan sepenuhnya peruntukan-peruntukan berkaitan gender ; memasukkan undang-undang (“legislation”) Malaysia akan takrif diskriminasi secara langsung dan tidak langsung; mewujudkan dan menguatkuasakan undang-undang kesaksamaan gender secara bersepadu dan menyeluruh dengan melibatkan setiap peringkat bagi mencerminkan kesaksamaan substantif antara lelaki dan wanita di arena umum mahu pun persendirian.
“Pelaksanaan segera segala tuntutan ini perlu bagi menjamin hak wanita sentiasa terpelihara dan merapatkan jurang gender, terutama dalam politik dan sektor pembuat keputusan. Dengan adanya pelaksanaan tegas begini, wanita tidak akan lagi terdedah dan tertekan kepada jenayah gender , strereotyping gender dan eksploitasi seksual,” akhiri Zuraida.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.