Adalah sesuatu yang memalukan apabila kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih terus mahu menggunakan khidmat nasihat Israel melalui APCO Worldwide.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Yusri Yunus berkata kerajaan seharusnya menghentikan semua hubungan sama ada khidmat nasihat atau perdagangan dengan Israel.
“Melihat kepada perkembangan terkini, kerajaan seharusnya menghentikan segera khidmat dengan syarikat perunding APCO.
“Tambah lagi rakyat negara ini sendiri telah secara tegas menyatakan penolakkan mereka terhadap kezaliman oleh rejim itu terhadap rakyat Palestin.
“Memalukan apabila pemimpin kita bukan sahaja tidak mampu mengeluarkan kenyataan tegas berhubung isu Gaza, tetapi terus menggunakan khidmat syarikat milik Israel,” tegasnya lagi.
Sikap pemimpin negara jelasnya sangat bertentangan dengan pendirian yang diambil pemimpin lain termasuk dari negara bukan Islam.
Dalam perkembangan terbaru, Menteri kanan Pejabat Kementerian Luar Britain, Baroness Sayeeda Warsi membuat pengumuman mengejut meletakkan jawatan serta-merta sebagai membantah kegagalan David Cameron untuk mengutuk penderitaan di Gaza.
Perletakan jawatan itu kerana tidak boleh menerima dasar kerajaan negara itu terhadap konflik Gaza.
“Saya tidak lagi boleh menyokong dasar Kerajaan mengenai Gaza,” tulisnya di Twitter.