Projek pengakutan penumpang MRT dari Sungai Buloh ke Kajang yang dijadualkan bermula pada tahun 2011 terus mengejutkan rakyat apabila kos asal yang dianggarkan sejumlah RM36 bilion kini diramal akan mencecah sehingga RM50 bilion.
Menurut satu laporan dalam akhbar arus perdana, Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Nur Ismal Kamal berkata kerajaan sedang melakukan apa sahaja untuk mengurangkan kos. Dengan kos pengambilan tanah dan peningkatan harga pasaran ia (kos baru) diramal mencecah RM50 bilion. Penganalisis CIMB pula menjangkakan kos yang diperlukan sekitar RM353 juta untuk sekilometer, keseluruhan MRT 150km dan akan menelan belanja RM53 bilion.
Bagi ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua lonjakan kos yang dramatik itu amat memeranjatkan dan menakutkan apatah lagi jika projek tersebut tidak dapat disiapkan dalam jangka masa sepatutnya.
“Saya telah mengeluarkan satu kenyataan pada awal minggu ini mengenai kajian ke atas projek infrastrutur di seluruh dunia oleh Bent Flyvbjerg dari Oxford Universiti yang menyatakan projek pengangkutan rel bukan sahaja sering menanggung risiko melebihi kos asal sehingga 44.3 peratus, trafik penumpang 51.4 peratus lebih rendah daripada jangkaan, malahan 9 daripada 10 projek seumpama itu mengalami kerugian kerana kos operasi terlalu tinggi dan terbelih jangkaan penumpang,
“Flyvbjerg memberi amaran sebab utama kegagalan ramalan dan statistik adalah berpunca daripada perancang dan pemodal projek biasanya mencantikkan senario kejayaan melebihi daripada potensi menemui kegagalan,” jelasnya.
Menurut Tony lagi, walaupun kerajaan sedang mengumpul pendapat awam mengenai projek MRT namun dalam masa yang sama projek itu sendiri telah pun diberikan kepada syarikat yang akan melaksanakannya.
“Amat jelas daripada kenyataan CEO SPAD tidak ada bajet yang jelas. Adakah kerajaan akan meneruskan juga usaha ini jika kosnya meningkat ke angka RM60 atau RM70m bilion? Ini menimbulkan keraguan mengapakah kerajaan tidak melakukan analisis kos untuk meneliti dari mana kos langsung dan tidak langsung datang dan memberi kesan kepada faedah langsung mahu pun tidak langsung dalam projek ini
“Ini juga merupakan pertikaian dari kenyataan asal SPAD, yang mana pelaksana projek Gamuda-MMC akan menanggung peningkatan kos. Sekiranya pelaksana projek telah menetapkan kos asal RM36.9 bilion tentunya peningkatan kos itu dilakukan oleh mereka bukannya oleh kerajaan? Hakikatnya kos memang dijangka meningkat dan seharusnya jangkaan asal kos perlu dikaji semula termasuk segala risiko projek,” ulas Tony.
Tony menggesa agar SPAD mendedahkan terma dan syarat yang diberikan kepada syarikat pelaksana Gamuda-MMC yang menyatakan akan menanggung peningkatan kos. Begitu juga SPAD perlu mendedahkan sebarang jangkaan risiko sebagaimana yang dinyatakan dalam kajian Flyvbjerg. Semua malapetaka projek pengangkutan rel dalam kajian penyelidik itu mampu dielakkan seandainya wujud ketelusan dan akauntabiliti melibatkan kontraktor projek dan kerajaan dalam sebarang perjanjian serta urusan pembinaan.