Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata tindakan Khalid memecat 6 orang Exco yang terdiri daripada KEADILAN dan DAP masih kabur kerana tidak mendapat persetujuan daripada Sultan.
Jelasnya hal ini kerana menurut Perlembagaan Negeri Selangor perkara 53(7), Menteri Besar hanya boleh mencadangkan nama exco sahaja untuk dipecat dan ia memerlukan persetujuan daripada Sultan.
“Kita tidak menerima tindakan Khalid untuk memecat exco sebab ia bertentangan dengan Perlembagaan Negeri.
“Sebab kalau nak pecat, ia memerlukan persutujuan daripada Sultan terlebih dahulu, tapi perkara itu kita tidak nampak persetujuan daripada Sultan tentang perkara itu.
“Jadi pada kita, Pakatan Rakyat masih lagi mempunyai majoriti, ada hak dan autoriti untuk meneruskan peranan masing-masing di kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi.
Justeru, Surendran yang merupakan seorang peguam menggesa agar Abdul Khalid untuk memberi bukti secara terang-terangan berhubung persetujuan yang diperolehi daripada Sultan untuk memecat 6 orang exco tersebut.
“Jadi kita menggesa agar Tan Sri Khalid untuk membuktikan kepada kita tentang persetujuan daripada sultan untuk memecat exco itu.
“Pada kita, beliau hanyalah Menteri Besar peralihan sahaja, dan tidak mempunya kuasa untuk memecat mereka tanpa persetujuan daripada Sultan,” katanya lagi.