Pemuda PAS Perak kesal pemandangan kurang menarik di lokasi Perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan Negara kali yang ke – 57 tahun ini bagi Peringkat Negeri Perak berikutan kedudukan berhadapan dengan pentas utama yang akan menempatkan kenamaan terdapat satu ‘bangunan hantu’ yang menjejaskan pemandangan dan walaupun ianya adalah pintu masuk hab pengangkutan yang menggunakan keretapi terdapat di situ sungguh menyedihkan.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak YM Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, kelembapan bertindak dan tiada sikap sensitif pihak-pihak yang berwajib telah ‘mencacatkan’ suasana sambutan kali ini yang di cemar duli dengan keberangkatan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang naik tahta sebagai Seri Paduka Sultan Perak.
“Bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang begitu hampir dengan lokasi sambutan peringkat negeri jelas mencerminkan suasana kurang selesa hadirin yang akan hadir nanti kerana suasana yang terdapat di situ.
“Sebelum ini, bangunan megah tersebut digunakan sebagai sebuah hotel dan ianya tidak dibiarkan begitu sahaja, akan tetapi kini tiada usaha mana-mana pihak yang terlibat terutamanya agensi kerajaan untuk ‘menghidupkan’ kembali bangunan KTMB tersebut walaupun operasi keretapi eletrik sudah lama bermula. Sepatutnya pihak Kerajaan Negeri Perak perlu mencadangkan dengan segera kepada Kerajaan Persekutuan akan kepentingan bangunan KTMB tersebut dibangunkan semula.
“Sudah terlalu lama bangunan KTMB tersebut dibiarkan kosong tanpa ada apa-apa tindakan untuk tujuan menceriakan bangunan KTMB tersebut terutamanya negara kini mempromosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) dengan kehadiran pelancong asing yang melihat satu bangunan kosong yang tinggal sejarah yang begitu memalukan rakyat Negeri Perak khasnya dan sambutan kemerdekaan ini sebagai tanda serta tersebarnya gambar-gambar pelbagai persepsi tahap pembangunan yang ada di Bandar Ipoh khasnya terutamanya bangunan KTMB tersebut,” katanya.
.