Komentar
PAS – Impikan negara Islam
PKR – Tawan Putrajaya, bebaskan Anwar
DAP – Hanya mahu jadi pembangkang yang kuat
Arah aliran parti-parti yang bersepakat dalam pakatan yang dinamakan Pakatan Rakyat masih tekial-kial untuk meneruskan apa yang dicita-citakan mereka bilamana pada awal tsunami politik pada PRU 12 mereka nyaris menguasai kerajaan pusat di Putrajaya.
Walau sehingga kini Pakatan Rakyat masih gagal didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Saban waktu ada sahaja seorang demi seorang wakil rakyat dari kumpulan PR terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar meninggalkan parti. Ketidakupayaan ketua umum PKR mengawal parti dan anggotanya termasuk MPnya sangat mengecewakan banyak pihak dalam dan luar.
Sepatutnya Anwar Ibrahim sudah boleh melepaskan kepada mana-mana pemimpin kanan parti untuk mentadbir parti itu dengan cara yang baru dan bukan lagi bergantung dengan Anwarisme.
Akan tetapi oleh kerana semua pihak menyedari hayat PKR seakan hanya bergantung dengan arahan Anwar maka tiada siapa boleh mempersoalkannya. Samada Saifudin, Azmin, Tian atau sesiapa sahaja yang akan menjawab isu ini maka mereka semua akan bersilat dan menafikan dengan berkata dengan satu jawapan standard bahawa mereka bukan berjuang kerana Anwar tetapi kerana rakyat.
Hakikatnya jika Anwar terus gagal mengawal parti yang terdiri dari bekas-bekas Umno, sosialis dan golongan kecewa dari MIC, MCA dan lain-lain maka PKR akan bungkus dan hilang dari lipatan sejarah.
Lihat bagaimana Semangat 46 yang berasaskan membela tokoh yang gagal dalam pemilihan Umno 1987 lenyap apabila Tengku Razaleigh sendiri membubarkan parti itu selepas berjaya dipujuk antaranya oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim dan kebanyakannya kembali kepada Umno melalui sistem enblock dimana semua ahli S46 boleh secara otomatik kembali menjadi ahli Umno. Ini termasuk Shabery Cheek yang sebelum ini dikaitkan dengan PAS semasa bertanding dalam PRK DUN Kijal pada tahun 1989.
Jumlah sebenar ahli PKR sebenarnya tidak sampaipun dengan jumlah pengundi yang mengundi mereka pada PRU 12. Mereka banyak berharap kepada kekuatan PAS untuk menggerakkan jentera parti. Cabang atau ranting PKR ibarat hidup segan mati enggan sekali.
Dengan kejayaan Najib membina semula dan jenama baru BN maka Najib dikira berjaya membangkitkan semula sokongan pengundi dalam PRU 13 akan datang. Tidak mustahil semua negeri yang sedang dikuasai oleh pakatan Pakatan Rakyat akan tumbang kepada BN.
PAS sendiri dalam satu kajian khusus di Selangor akan hilang semua kerusinya dan gagal mempertahankannya sama sekali.
Kerusi PKR pun di Selangor akan disapu bersih semula oleh komponen BN dari MCA dan MIC. Dengan isu-isu yang melanda Selangor maka BN berjaya mengeksploitasikan semua isu sehingga rakyat dari Kuala Langat ke Sabak Bernam ke Hulu Selangor dan Gombak akan kembali mengundi Bn kali ini.
DAP pula dijangkakan akan mendapat beberapa kerusi tradisi sebagai kerusi tradisi Cina khususnya yang mahukan adanya pembangkang dalam dewan undangan negeri samada di Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan terus diterajui DAP kerana asas perkauman menjadi ukuran untuk kaum Cina ingin mempunyai sebuah kerajaan berasingan dari BN.
Terengganu sekali lagi menyaksikan PAS gagal merampasnya dari BN. Kecuali Kelantan dimana PAS akan terus berkuasa di sana dengan majoriti menurun kesan kempen BN yang tempias dari negeri pantai Barat.
Maka akan ramailah nanti bekas-bekas wakil rakyat akan menggangur semula dan mereka semua yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan akan kehilangan kerja semula dan tetap akan memperolehi pencen yang sepatutnya.
Yang masih kekal ialah ahli Dewan Negara seperti Syed Hussin Ali yang baru dilantik bagi penggal pertama sebagai senator.
Berbeza dengan PAS kerana pendirian PAS jelas iaitu kalah atau menang mereka masih bergantung dengan akidah yang mana perjuangan mereka adalah kerana Allah dan tidak akan kecewa samada menang atau kalah bahkan mereka percaya kewajiban mereka telah selesai apabila mati kelak.
Oleh itu patut sekali Pakatan Rakyat mempersiapkan diri untuk kembali menjadi pembangkang kecil dalam parlimen atau dewan undangan negeri.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.