Program pelancaran Buku Jingga di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru malam tadi berjalan lancir biar pun terganggu sedikit dengan insiden terputus bekalan elektrik sejurus Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim memulakan ucapan.
Majlis makan malam meraikan ulang tahun ke-3 kemenangan Pakatan Rakyat pada Mac 2008 itu dihadri oleh kira-kira 200 hadirin secara tempahan meja bagi mengutip sumbangan tabung pilihanraya peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam ucapan pembukaan ahli parlimen Batu Tian Chua memperkenalkan Buku Jingga sebagai manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat untuk pilihanraya umum akan datang yang mengandungi kontrak sosial antara PR dan rakyat menjamin perubahan yang lebih baik kepada negara.
“Kami dalam PR memperkenalkan Buku Jingga kepada rakyat Malaysia. Buku ini memberi janji-janji kepada rakyat. Kontrak sosial kita yang mana kita terikat untuk laksanakan sekiranya diberi kepercayaan memerintah.
“Selama ini Malaysia tidak pernah wujud politik persaingan dasar, politik Malaysia hanya berkisar atas politik kotor untuk menjatuhkan peribadi.
“Buku Jingga bukan janji pancing undi. Dalam politik Malaysia apabila hampir pilihanraya maka mereka sibuk perbaiki jalan, bagi hamper kepada ibu tunggal dan sebagainya. PR cuba buat perubahan dengan perkenalkan politik persaingan dasar mulai sekarang. Buku ini jadi kontrak parti-parti PR. Program yang akan kita laksanakan. Rakyat boleh saksikan sama ada kita pegang dasar dan laksanakan atau pun tidak,”kata Tian.
Menurutnya, Buku Jingga menjanjikan beberapa perkara penting yang mendesak, sekiranya PR diberi peluang memerintah maka segala faedah tersebut akan diperolehi rakyat.
“Kerajaan akan ambil alih tol yang membebankan rakyat, kita teruskan pemberian subsidi. BN kata mereka beri subsidi namun subsidi lebih banyak diberi kepada golongan tertentu. Kita akan naikkan gaji guru RM500. Kita juga jadikan air hak asasi rakyat sebagaimana di Selangor, kita akan kurangkan jurang informasi antara bandar dan desa dengan laksanakan wi fi percuma. Peneroka felda yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara melalui getah dan kelapa sawit akan diberi hak mereka. 20% royalti minyak akan dinikmati oleh negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Sabah. Kita akan mansuhkan ISA, tubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat pelbagai penyelewengan dan mahukan Suruhajaya Pilihan Raya yang cekap kendalikan pilihan raya.
“Marilah kita usahakan PRU akan datang merealisasikan Buku Jingga. Setiap isi rumah sepatutnya memiliki satu Buku Jingga untuk kita sama-sama berubah,”gesa Tian.
Menteri Besar Selangor yang juga Presiden Kelab Sultan Sulaiman Tan Sri Khalid Ibrahim menekankan perkara yang telah dibuat oleh Kerajaan Selangor sepanjang diberi kuasa memerintah oleh rakyat negeri itu.
“Kita telah buktikan, kita telah buat program kebajikan yang tidak pernah dibuat BN. Oleh itu Buku Jingga yang dijanjikan oleh PR bukan impian kosong. Ianya satu kajian yang benar mengambil kira apa yang telah dibuat di negeri-negeri PR di Malaysia
“Buku Jingga akan menjadi bukti kalau kita dapat urus kerajaan dengan baik, rakyat akan mendapat nikmat. Salah satu yang ditulis Buku Jingga ialah mengurangkan kos pembelian tenaga elektrik . Kita boleh kurangkan kadar elektrik kepada yang lebih murah
“Ini Seperti kerajaan Selangor selesaikan masalah air. Dulu ada kadar 36%, 15% , makin naik tetapi perkhidmatan tidak berubah. Selangor beri jaminan kepada rakyat air percuma 20 meter padu dan itu tidak mengurangkan pembangunan untuk rakyat Selangor,”katanya.
Sementara itu, Anwar Ibrahim yang baru kembali dari siri ceramah di Sarawak dan merasmikan konvensyen pelajar di KUIS Bangi sebaik sahaja memulakan ucapan pada pukul 11 malam mengalami gangguan bekalan tenaga elektrik.
Seluruh khemah yang dipenuhi hadirin gelap-gelita termasuk tempat ceramah. Bagaimanapun, anehnya bangunan Kelab Sultan Sulaiman tidak mengalami keputusan bekalan sekiranya gangguan disebabkan litar pintas kerana suis utama berpusat di situ. Anwar berseloroh ‘Ini macam Mubarak’.Namun setelah pemeriksaan dilakukan bekalan pulih 10 minit kemudian.
Ketika menyambung ucapan, beliau menegaskan perjuangan PR adalah untuk mengembalikan ketuanan rakyat. Rakyat Sarawak dan Sabah misalnya menuntut tanah mereka namun dinafikan oleh kerajaan BN. Perkara itulah yang akan dikembalikan oleh PR.
“Di Sarawak mereka minta tanah mereka tetapi hak mereka dinafikan. Sabah juga macam itu. Kita lawan bukan untuk perkauman. Jangan dengar propaganda kalau PR perintah habis negeri jatuh ke tangan Cina. Dia hanya nak pertahan anak dia.
“Baru-baru ini ada kontrak RM23 bilion Petronas. Dulu gali minyak dalam Negara sekarang bawa masuk dari negara luar. Tiga syarikat akan dapat. Iaitu Kencana milik Mokhzani anak Dr Mahathir, satu lagi ada hubung kait dengan Kamaludin Abdullah Badawi dan satu lagi syarikat Cariminyak, syarikat baru tubuh persefahaman antara Najib dan Rosmah.
“Rakyat yang sokong mereka dapat apa? RM230 untuk pasang poster pilihanraya,”sindir Anwar.
Beliau turut mengulas situasi negara diktator Asia Barat yang telah tumbang satu persatu akibat kemarahan rakyat.
“Dua bulan lalu siapa pemimpin paling hebat Mesir, Mubarak. Siapa perempuan paling hebat Mesir Suzanne Mubarak. Hari ini rakyat ludah Mubarak kerana bawa lari RM200 bilion keluar negara. Dulu pilihanraya Mesir Mubarak menang 90% undi hari ini jika Mubarak bertanding hilang deposit
“Di Tunisia hero Ben Ali, heroin Leela, gila ambil harta rakyat, madam 10%, dapat komisyen projek. Sekarang sebut Ben Ali kaki ampu pun tidak mahu sebut lagi,”katanya disambut ketawa hadirin.
Anwar juga menyentuh Buku Jingga yang menurutnya bukan janji kosong sebaliknya telah dilaksanakan sebahagiannya di beberapa negeri tadbiran PR dan akan dilaksanakan ke seluruh Malaysia jika PR berpeluang memerintah.
“Kita banding Tan Sri Khalid buat di Selangor. Di Sarawak bila saya jelaskan rakyat terkejut bagaimana kita boleh buat begitu. Mati dapat (skim khairat), hidup dapat (bantuan pendidikan), beranak dapat ( skim tabungan anak selangor). Cuma saya penasihat ekonomi tak dapat, saya (tinggal) di wilayah persekutuan dan anak baru tak ada lagi. Kita berani sebut, kita bukan janji tetapi telah buat,”tegas Anwar.
Tokoh reformasi itu juga mengecam kerajaan BN yang tidak putus-putus menzaliminya hanya kerana ingin kekal berkuasa.
“Pembunuh lepas, perogol lepas. Kita yang asyik ditangkap tak habis-habis. Lepas ditelanjang dibogelkan, ukur menatang tu, ukur bulu, check belakang. Saya tanya doktor pasal apa check belakang, tuduh saya buat depan. Ini tak lain nak aibkan saya,”katanya diiringi ketawa hadirin. “Syeikh Qardawi fatwa siapa buat fitnah dia orang munafik, siapa ulang fitnah dia fasik”
Anwar juga menyentuh pembelotan AP PKR setelah disogok projek jutaan ringgit.
“Bila keluar kata (PKR) tak jaga Melayu, rasuah. Tiba-tiba tuhan nak tunjuk keluar cek nilai RM1.4 juta. Itu untuk satu priojek , tak tahu berapa lagi dia dapat. Orang kata saya turut salah. Betul saya salah kerana saya yang pilih. Saya minta maaf. Tetapi untuk akan datang hanya yang buat kerja akan dipilih semula, yang lembab jangan harap.
“Kita akan berjuang dalam pilihanraya sampai menang. Malaysia negara yang hebat dan tidak layak diperintah oleh orang yang rasuah dan zalim. Malaysia perlu diperintah oleh orang yang kembalikan hak rakyat dan angkat martabat rakyat,”akhirinya.