Jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz mengenai kedudukan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansur yang digelar Wanita Pertama Negara mengandungi unsur putar belit dan penuh manipulkasi.
Demikian disifatkan oleh ahli parlimen Ampang Zuraida Kamarudin. Beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata jawapan Nazri kepada soalan ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul bahawa penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebagai kod amalan adalah dangkal dan cuba menghina Perlembagaan Negara.
“Jelas diperuntukkan dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah
“Perkara 32 (2) berbunyi, “Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong
“Jika benar penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebuah kod amalan seperti yang didakwa, maka saya pasti bahawa isteri Perdana Menteri juga tertakluk dibawah Kod Protokol yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri, dengan mengambil kira beliau hanya sebagai seorang pegawai kakitangan buat YAB Perdana Menteri,” bidas Zuraida.
Oleh yang demikian Zuraida mempersoalkan bagaimanakah Rosmah boleh dibenar mendapat peruntukan sehingga berjuta-juta ringgit dalam pelbagai aktiviti sedangkan peruntukan itu tidak pernah diluluskan dalam kabinet, parlimen ataupun dalam bajet perkhidmatan awam
“Bagaimanakah sejumlah peruntukan sebanyak RM4.5 juta boleh diluluskan buat seorang ‘kakitangan’ untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama? Bagaimanakah seorang ‘kakitangan’ biasa boleh diberikan peruntukan untuk melancong ke seluruh dunia? Apakah seorang ‘kakitangan’ juga dibenarkan berkempen dan membuat pelbagai janji secara melampau dengan menggunakan wang kerajaan sewaktu pilihanraya, yang sehingga kini satu pun tidak tertunai? Adakah wujud pula Kod Protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk Isteri Perdana Menteri?” tanyanya.
Zuraida meminta Nazri agar jangan mempermainkan tahap kebijaksanaan berfikir rakyat dengan jawapan putar-belitnya. Rosmah jelas bukan Wanita Pertama dan meminta Nazri segera memberi jawapan yang tepat dengan fakta yang jelas lagi terperinci.
“Saya menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar berani dan segera menjawab dengan jujur, berpaksikan fakta serta realiti yang tepat bagi membuktikan beliau benar-benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya,” akhiri beliau.