Kenyataan Media: Terdahulu, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia walaupun tidak melalui Persidangan Khas Parlimen bagi membentangkan penstrukturan semula Bajet tahun 2015 bagi menghadapi pasca bencana banjir telah menarik beberapa peruntukan yang dibentangkan sebelum ini dan walaupun masih banyak yang wajar dinilai semula peruntukan yang sedia ada tersebut.
Saya di Negeri Perak menanti komitmen daripada Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir bagi membela mangsa-mangsa banjir yang turut terlibat di beberapa tempat khasnya seperti di Lenggong, Bagan Serai, Sungai Siput, Parit, Pasir Salak dan tempat saya sendiri di Kuala Kangsar serta yang terbaru di Teluk Intan perlu menjadi perhatian serius daripada Kerajaan Negeri Perak khasnya selepas ini.
Masih menunggu penstrukturan semula Bajet tahun 2015 bagi Negeri Perak daripada Datuk Seri Zambry sehingga saat ini belum diumumkan ataupun bencana banjir di Perak yang baru berlaku ini adakah tidak begitu serius dan masih boleh dikawal serta tiada kerosakan harta benda seperti rumah, kenderaan, kawasan pertanian dan penternakan yang musnah dilaporkan telah berlaku di sini.
Setelah berlakunya banjir lebih seminggu di beberapa tempat sebelum ini, kita dikejutkan pula tentang banjir kilat yang berlaku di Sungai Rokam, Ipoh baru-baru ini dan kebetulan sahabat saya, saudara Salman Haji Saleh, Exco Pemuda PAS Malaysia yang melawat sahabatnya di situ hadir membantu setelah lebih sejam air memenuhi rumahnya sekitar waktu Solat Maghrib ketika itu.
Dimaklumkan juga di belakang rumahnya terdapat sungai yang berhampiran dengan Taman Golf, Ipoh yang pernah di duduki Datuk Seri Zambry dahulu turut dinaiki air serta beberapa kawasan sekitarnya dan ianya cukup mengejutkan saya dimana sebelum ini pernah saya lontarkan kebimbangan bahawa Bandar Raya Ipoh juga berisiko berlaku banjir pada masa depan jika ianya tidak diambil perhatian.
Kita juga pernah ingat bahawa Kampung Manjoi, Ipoh sebelum ini turut pernah berlaku banjir dan ramai mangsa terlibat berikutan air sungai melimpah, dengan mengambil kira Bandaraya Ipoh mempunyai sungai-sungai berhampirannya perlu dikaji dan disediakan pelan khas dengan mengambil contoh-contoh Negara luar yang mempunyai sungai di dalam bandaraya seperti Ipoh.
Berbalik kepada penstrukturan semula Bajet, saya rasakan sewajarnya Datuk Seri Zambry memanggil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas bagi membincangkan pandangan dan cadangan di DUN-DUN yang terlibat bagi perancangan jangka masa pendek dan panjang agar bajet sedia ada digunakan semaksima mungkin bagi mengurangkan kesan banjir di masa yang akan datang.
Bagi saya, kita mempunyai 11 bulan sahaja lagi bagi persediaan menghadapi kemungkinan banjir yang bakal berlaku nanti sama ada seperti sebelum ini ataupun mungkin kurang daripada ini dan amat membimbangkan akan berlaku banjir yang lebih teruk jika kita tiada usaha untuk mengenal pasti punca-punca berlakunya banjir kerana menganggapnya masih tidak bahaya.
Dalam tempoh 11 bulan ini juga, kekerapan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Zambry perlu memberikan fokus empangan yang sedia ada berikutan limpahan air yang antara punca berlakunya banjir selain sungai-sungai yang perlu disenggara dengan baik termasuk masalah longkang tersumbat dan sebagainya.
Saya juga rasakan, kita sepatutnya telah mulakan beberapa latihan dan persediaan bagi menghadapi banjir kepada semua agensi kerajaan agar ianya akan membantu ketika bencana ini berlaku dan juga kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bersedia membantu penduduk kampung mereka dalam semua aspek bantuan semasa bencana banjir berlaku di masa hadapan.
Dengan mengambil kira tema bajet yang lalu iaitu ‘Perak Amanjaya, Rakyat Terpelihara’, kelangsungan untuk menjaga rakyat yang menghadapi kesusahan akibat bencana yang perlaku seperti banjir baru-baru ini perlu diterjemahkan, agenda politik sempit perlu diketepikan demi memastikan rakyat benar-benar terpelihara malah terbela terutamanya yang menjadi mangsa banjir.
Jumlah bajet iaitu RM1.05 Billion dengan pecahan untuk pembangunan sebanyak RM342.71 Juta dan bagi mengurus sebanyak RM707.81 Juta perlu distruktur semula untuk mencapai maksud rakyat terpelihara, apa yang saya katakan bahawa Kerajaan Negeri Perak perlu mengambil langkah berani untuk menarik peruntukan bajet sedia ada dan mengutamakan kebajikan rakyat.
Antara yang boleh saya cadangkan seperti menaikkan peruntukan Program Bantuan Rumah YBU daripada RM5 Juta sebelum ini kerana memberikan fokus kedudukan rumah rakyat yang terjejas setelah berlakunya masalah banjir daripada sudut tambah nilai meninggikan kawasan tanah ataupun masalah peparitan bagi meluaskannya untuk mengelak air bertakung sebagai contoh.
Setuju atau tidak bersetuju antara bajet yang perlu dipertimbangkan seperti Sektor Pelancongan sebanyak RM8.5 Juta, Program persidangan antarabangsa sebanyak RM3 Juta dan Program pelancongan sukan sebanyak RM3 Juta pada tahun ini kerana tempoh kita semua terlalu singkat bagi memastikan keselesaan rakyat terjamin dan terpelihara dengan kata sebenarnya.
Jika saya dikedudukan Datuk Seri Zambry yang juga bekas pensyarah saya, saya telah gariskan usaha yang ingin saya lakukan demi memastikan rakyat tidak tertekan dan merasa sedih dengan kesungguhan kita bagi membantu mereka dan bagi saya ini adalah tanggungjawab sebagai kerajaan yang memerintah dan saya bukan kedudukan itu buat masa ini.
Bagi rakyat, bersabar dan terus berdoa agar kita semua diberikan keselamatan dan dihindari daripada musibah yang lebih buruk, dan nasihat saya agar menjaga diri anda dan ahli keluarga anda daripada risiko dihadapan kita terutamanya seperti bencana banjir dan banyaknya pengajaran kita ketika berlaku banjir di Perak tempoh hari yang masih tersemat di hati saya juga.
#Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Perak dan juga Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar Bandar DiRaja