Wacana ‘Harakah dalam bahaya, mendesak Mustafa Ali berundur’ yang dianjur oleh NGO Seniman Paksi Rakyat dan PAS Kawasan Batu di Madrasah Tarbiyah Kampung Banda Dalam , Gombak, 28 Januari lalu agak menarik dan mengupas secara lebih mendalam perancangan kumpulan Unity Government (UG) menjelang Muktamar pemilihan PAS, Jun depan.
Forum tersebut dihadiri oleh ahli panel yang mengetahui selok-belok Harakah dan perancangan puak UG untuk menguasai lidah rasmi PAS itu bagi melancarkan agenda mereka menguasai pimpinan bawahan.
Kehadiran bekas Editor Berita Harakah, Datuk Tarmizi Mohd Jam menguatkan hujah tentang wujudnya perancangan puak UG menguasai akhbar parti. Puak UG sebelum ini didakwa menamatkan kontrak Tarmizi, Editor Roslan Hamid dan kini sedang berusaha untuk menamatkan jawatan Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman.
Forum itu diberitahu, perancangan puak UG untuk menguasai Harakah dilakukan sama ada dengan pengetahuan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali atau pun secara mempergunakan kedudukan beliau. Oleh itu, ahli panel menuntut agar Mustafa berundur dari kerusi Lembaga Pengarah Harakah secepat mungkin.
Mustafa – Umno
Mustafa merupakan satu-satunya ahli politik yang mempunyai sejarah panjang bersama lidah rasmi PAS itu. Beliau didakwa memonopoli Harakah sebagai ahli lembaga pengarah selama 27 tahun. Mutakhir ini beliau didakwa menggunakan medium tersebut untuk untuk merealisasikan hasrat puak UG menguasai PAS secara keseluruhan.
Mustafa didakwa menekan Lufti agar bersara awal, konon kerana kemerosotan jualan. Namun jumlah sebenar jualan Harakah tidak pernah didedahkan. Harakah juga tidak pernah diaudit oleh audit bebas yang berautoriti agar perjalanan kewangannya tidak disalah gunakan. Hari ini, perjalanan kewangan Harakah, dilaporkan, amat meragukan.
Forum juga diberitahu mengenai kecurigaan sebahagian pemimpin PAS sama ada wujud sebarang agenda Mustafa bersama Umno. Hal ini kerana hanya Mustafa pemimpin yang masih tinggal dalam ranking kepimpinan PAS yang pernah duduk dalam Kerajaan Perpaduan PAS-Umno pada tahun 1971-1978. Mustafa sepanjang tempoh itu menjawat jawatan Setia Usaha Parlimen dan Timbalan Menteri. Maka dakwa sesetengah pemimpin bawahan, tidak hairanlah jika Mustafa sekali lagi akan memainkan peranan “broker” kuasa bersama Umno.
Serangan Mustafa ke atas DAP atas isu pilihan raya PBT didakwa bertujuan menghidupkan perjuangan Islam – Melayu dalam kalangan ulama PAS. Sidang media Mustafa tempoh hari juga mencurigakan kerana mendapat tempat dalam berita TV3 dan disiar pada muka depan Sinar Harian – akhbar yang pemiliknya adalah totok Umno.
Pilih kasih
Polemik pilihan raya PBT memburukkan imej PAS apabila isu rusuhan kaum 13 Mei dimainkan tidak kena pada tempatnya. Cabaran Mustafa untuk berdebat dengan Lim Guan Eng mendedahkan sikap Mustafa yang tidak pedulikan perpaduan Pakatan Rakyat.
Akhirnya, hujah Mustafa menyebabkan Naib Presiden PAS yang selalunya menyokong Hadi, mengeluarkan kenyataan menjengkelkan. Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru agar Pakatan bersatu membela rakyat yang semakin ditindas BN dan bukannya bersengketa sesama sendiri.
Selain itu, ahli panel forum Hakarah dalam bahaya juga menyelar sikap Mustafa sebagai setiausaha agung yang tidak mewakili semua ahli dan kepemimpinan PAS dalam membincangkan masalah parti. Hanya masalah-masalah yang difikirkan sesuai dengan agenda tertentu sahaja diperbincangkan manakala isu-isu lain diketepikan begitu sahaja.
Di akhir forum, pengerusi mengumumkan jumlah pendengar yang mengikuti sesi “Harakah dalam bahaya” yang disiarkan oleh Radio PedasFM adalah seramai 755,000 orang.