Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal terhadap sikap lembab bertindak kerajaan Malaysia dalam isu membawa pulang rakyat negara ini yang bakal terdedah kepada pencemaran radioaktif berikutan letupan di reaktor keempat kilang tenaga elektrik berkuasa nuklear di Jepun.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa kerajaan Malasyia bertindak segera sebagaimana yang dilakukan ke atas rakyat Malaysia di Mesir berikutan krisis politik negara Timur Tengah itu Januari lalu.
“Angkatan Muda Keadilan (AMK) berasa kecewa dan kesal dengan kelembapan dan dolak dalik pihak-pihak berwajib dalam membuat keputusan membawa pulang rakyat Malaysia, khususnya mahasiswa di Jepun yang kini terancam dengan letupan dan kebocoran radiasi di loji janakuasa nuklear di negara itu.
“AMK turut mempersoalkan sikap selektif kerajaan dalam menangani isu ini berbanding dengan Ops Piramid yang membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir sebelum ini.
“Apakah kerajaan ingin menyatakan bahawa bencana nuklear ini sama sekali tidak serius jika dibandingkan dengan ‘tsunami politik’ di Timur Tengah khususnya Mesir yang berpotensi melarat ke Malaysia jika mahasiswa Malaysia di Mesir terdedah dengan semangat kebangkitan rakyat di sana?,” bidas Shamsul.
Berikutan bencana tsunami yang melanda Jepun Jumaat lepas, yang disifatkan terburuk dalam sejarah negara itu, letupan dan kebocoran radiasi telah berlaku di loji jana kuasa nuklear Tokyo Electric Power Co’s (TEPCO) Fukushima Daiichi.
Sehingga hari ini, telah berlaku letupan dikeempat-empat reaktor loji berkenaan. Pihak berkuasa Jepun mengesahkan pencemaran radiasi telah berlaku di kawasan sekitar dan akan merebak hingga ke Tokyo yang terletak beberapa ratus kilometer dari kawasan di timur laut Jepun itu.
Setakat ini, kerajaan China telah pun melakukan pemindahan besar-besaran warganya yang bekerja di Jepun mulai 15 Mac lalu. Sementara kerajaan negara-negara Barat dijangka akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
“Meskipun, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata kerajaan masih menunggu penjelasan daripada agensi nuklear di Jabatan Perdana Menteri, Malaysia Nuclear Power Corporation, mengenai impak letupan dan kebocoran radiasi di loji janakuasa nuklear tersebut, AMK merasakan tindakan ini memperlihatkan ketidakseriusan kerajaan mengenai keselamatan dan nyawa rakyat Malaysia di Jepun,” sambung shamsul.
Baginya pemindahan perlulah dilakukan segera sebelum ada rakyat Malaysia yang terkena pencemaran radiasi. Selain itu, beliau juga mengingatkan kerajaan Malaysia yang mula berjinak-jinak dengan fasiliti dan industri nuklear agar mengambil iktibar dari apa yang berlaku di Jepun.
Sebelum ini kerajaan Malaysia telah membenarkan syarikat dari Australia membina kilang memproses ‘rare earth’ terbesar di dunia di kawasan industri Gebeng, Pahang. Sekiranya terjadi kebocoran di kilang yang memproses bahan radiasi itu tentulah ia itu akan menyebabkan pencemaran teruk alam sekitar di Malaysia.
“AMK mendesak kerajaan untuk menyedari bahawa impak radiasi radioaktif ini akan membawa kesan jangka panjang. Justeru, sewajarnya dalam keadaan sebegini, iktibar dan pengajaran di ambil untuk tidak meneruskan cadangan wujudkan pusat pemprosesan ‘rare earth’ yang difahamkan terbesar di dunia di Gebeng, Kuantan.
“AMK juga menggesa agar tindakan proaktif diambil oleh kerajaan melalui pihak-pihak yang berkenaan pada kadar segera untuk memastikan nyawa rakyat Malaysia di Jepun tergadai sebegitu saja. Kerajaan juga harus menunjukkan komitmen di sebalik slogan ‘Rakyat Didahulukan’, bukannya ‘Rakyat Kena Dahulu’ baru tindakan wajar diambil,” katanya.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.