Dihalang dari melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah II atau Hudud oleh kerajaan Pusat kira-kira 15 tahun lalu tidak mematahkan semangat Kerajaan PAS Kelantan untuk meneruskan misi dakwah mentadbir negeri secara Islam.
Hal tersebut ditegaskan oleh Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Majlis Ramah Mesra Bersama Bloggers yang di adakan di Hotel Grand Season Kuala Lumpur. Katanya, Kerajaan PAS ketika itu ditekan agar tidak melaksanakan Hudud. Namun begitu undang-undang berkenaan kekal menjadi sebahagian daripada undang-undang syariah Kelantan sehingga kini.
“Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) pergi ke Kelantan dalam bulan puasa dan kata kalau PAS laksanakan Hudud maka pusat akan isytiharkan darurat. Jadi kita ambil pendekatan dalam Islam, kalau tak boleh buat semua jangan tinggalkan semua.
“Kalau kerana Hudud Kelantan kena mageran. Kelantan kena gantung dengan buat hudud, itu tak cerdik. Kalau Pas kena gantung kita tak ada apa-apa pun hari ini. (Oleh itu) dakwah dengan manusia kena lakukan secara bijaksana,” ujarnya.
Beliau menjawab soalan sasterawan Azizi Hj Abdullah yang menyifatkan PAS pada 1980an dan 1990an lebih menyerlah dengan perjuangan Islam. Sedangkan kini parti itu seolah-olah cair ideologi Islamnya kerana ‘mengambil hati’ komponen Pakatan Rakyat yang lain.
Tambah Nik Aziz, PAS memang ditakdirkan untuk bekerjasama dengan DAP untuk meluaskan dakwah. Kini orang Cina semakin menerima Islam dan tidak lagi takut dengan Islam. Malah ada orang Cina yang mula mendalami Islam kesan dakwah secara politik yang dibawa PAS
“Kita (PAS) dengan DAP semasa Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dulu, DAP minta buang (perkataan) Islam dari PAS tapi kita tidak bagi. DAP keluar APU. Tetapi kemudian dia masuk balik dalam Pakatan Rakyat.
“Sekarang dah tak jadi apa-apa. Dalam konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang Karpal Singh (Pengerusi DAP) pun dah beri kenyataan Islam agama rasmi Malaysia,” jelasnya.
Nik Aziz juga gembira dengan sikap pemimpin DAP Perak yang pernah menelefonnya bertanya tentang ayat-ayat al Quran. Bagi beliau dakwah yang disampaikan telah berjaya menjinakkan hati bukan muslim kepada Islam.
Malah di Kelantan, beliau sendiri telah mengilhamkan pembinaan masjid dengan reka bentuk Cina. Menurutnya, Rasullullah dalam dakwahnya tidak pernah meletakkan Islam eksklusif agama suku kaum tertentu malah orang kafir yang bertemu baginda juga di benar memasuki masjid.
Mengenai pertanyaan apakah PAS akan meletakkan calon bukan Islam dalam Pilihanraya Kecil Tenang hujung Januari depan beliau menjawab ada ketetapan yang dikeluarkan oleh pejabat agung PAS berhubung hal itu
“Sudah ada ketetapan pejabat agung PAS, boleh letak bukan Islam sebagai calon,” jelasnya.