Kenyataan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengenai tragedi tsunami yang melanda Jepun amat terpesong daripada fakta sebenar kejadian bencana tersebut dan menunjukkan kedangkalan pemikirannya sebagai seorang yang mahu digelar sebagai wanita pertama negara
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin membidas Rosmah kerana ketidak-pekaannya mendakwa kejadian tsunami adalah pengajaran kepada Jepun yang tidak menitik-beratkan faktor alam sekitar dan perubahan iklim dalam pembangunan di negara itu
“Laporan kenyataan (Rosmah) yang dilaporkan (Astro) Awani, menjadi tajuk utama berita antarabangsa CNN, dan kini menjadi pendebatan hangat di laman sosial facebook dan twitter menunjukkan bahawa Rosmah seolah-olah tiada naluri sensitiviti kepada kesusahan rakyat dan kerajaan Jepun yang kini sedang dalam keadaan getir menghadapi bencana yang melanda.
“Ini adalah amat memalukan dan bertentangan dengan pengakuan beliau dan kerajaan Malaysia kononnya sebagai “First Lady” beliau banyak membantu dalam hubungan diplomatik dengan negara-negara
“Akibat komennya yang dangkal, seluruh Malaysia diketawakan dan dicemuh dunia. Ini lebih teruk kerana ia berlaku selepas kontroversi kartun yang menghina sensitiviti rakyat Jepun dan seluruh dunia (watak ultraman gagal menahan tsunami),” kata Zuraida.
Ahli parlimen Ampang itu juga mengingatkan Rosmah bahawa tsunami tiada kena-mengena dengan perubahan iklim atau ‘green house effect’, sebaliknya akibat gempa bumi yang tidak boleh dilawan oleh manusia mengunakan sebarang teknologi mahu pun menjaga alam sekitar sebaik mana pun.
“Mewakili pimpinan KEADILAN, ingin kami mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa peristiwa yang berlaku di Jepun adalah kuasa Allah yang telah menjadi ketentuanNya. Malah, rakyat Jepun patut dipuji kerana tenang dan menerima ujian ini dengan sabar. Semasa Malaysia dilanda tsunami dalam tahun 2004, Jepunlah antara negara pertama yang menghulurkan bantuan.
“Oleh itu, Rosmah patut minta maaf kepada rakyat dan kerajaan Jepun kerana sikap tidak sensitifnya, juga kepada rakyat Malaysia kerana memalukan Malaysia.
“Malahan, dari insiden ini menunjukkan beliau sebagai isteri Perdana Menteri tidak layak untuk mewakili suara wanita Malaysia, apatah lagi mahu mengangkat diri beliau dengan gelaran First Lady of Malaysia (FLOM),” bidas Zuraida.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.