Kenyataan Media: Saya memandang serius tindakan pihak polis IPD Seri Alam pagi ini yang telah memanggil ADUN-ADUN Pakatan Rakyat Johor; Sdr Jimmy Puah (Bukit Batu-PKR), Sdri Liow Cai Tung (Johor Jaya-DAP) dan Sdr Cheo Yee How (Pengkalan Rinting-DAP) berikutan isu perhimpunan solidariti untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah berlangsung di Taman Molek, JB pada 10 Februari 2015 yang lalu.
Mereka telah dipanggil untuk disiasat dibawah Seksyen 9, Akta Perhimpunan Aman 2012.
Dalam hal ini, DAP Johor menegaskan agar pihak polis sewajarnya menumpukan komitmen terhadap isu-isu keselamatan yang lebih kritikal yang sedang membelenggu rakyat.
Kes-kes jenayah seperti kecurian, ragut, bunuh, samun dan sebagainya adalah isu utama yang perlu diberikan perhatian oleh pihak polis berbanding perhimpunan aman bagi menunjukkan solidariti terhadap seorang tokoh pejuang rakyat yang telah menjadi mangsa kezaliman pihak berkuasa.
Peningkatan kadar jenayah saban tahun menjadikan rakyat hidup dalam keadaan tidak selesa kerana diancam rasa tidak selamat. Inilah tugas yang lebih utama diberikan perhatian oleh pihak berkuasa polis demi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat terus terjamin.
LIEW CHIN TONG
Pengerusi DAP Johor