PAS kawasan Kota Baru mencalonkan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden parti dalam muktamar PAS ke-61 yang akan datang Jun ini.
Mesyuarat pertama ahli jawatankuasa (AJK) PAS Kota Baru malam ini membuat keputusan tersebut selepas mendapat mandat mesyuarat agung PAS kawasan Sabtu lepas.
Yang Dipertua PAS Kota Baru, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, ketika bercakap dengan The Malaysian Insider berkata, buat masa ini hanya jawatan presiden sahaja diputuskan.
“Saya penuh yakin presiden akan menerima baik cadangan ini kerana ia bertujuan menyatukan parti,” kata Rahim yang mempengerusikan mesyuarat AJK PAS Kota Baru itu.
Katanya, 11 daripada 13 AJK yang hadir ke mesyuarat itu menyokong pencalonan Tuan Ibrahim.
Mesyuarat agung PAS kawasan Kota Baru Sabtu lepas memberi mandat kepada AJK PAS yang baru dipilih mencalonkan barisan kepimpinan PAS untuk pemilihan Jun ini di Shah Alam.
Kota Baru merupakan kawasan pertama mengadakan mesyuarat agung menjelang muktamar agung tahunan parti Islam itu.