Bagi menghadapi pilihan raya ke-13 yang semakin hampir aktivis politik dan media Pakatan Rakyat digesa agar mengambil pendekatan yang diamalkan dalam kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (A.S) beberapa tahun lalu.
Dalam kempen kem Presiden Barack Obama, para sukarelawan kempen mencetak bahan-bahan bernilai berkenaan polisi dan berita Obama yang diambil dari internet untuk diedar secara percuma kepada rakyat.
“Di A.S sukarelawan kem Obama mencetak bahan-bahan dari laman web dan diedar kepada rakyat. Di Malaysia cara ini boleh digunakan, cetak dari internet dan edarkan ke kawasan yang masih belum ditembusi internet, seperti kawasan luar bandar, felda dan sebagainya,” kata Husam di Majlis Ramah Mesra MB Kelantan Bersama Bloggers yang berlangsung di Grand Season Hotel, Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.
Husam juga menjawab soalan yang dikemukakan dari bloggers Ibnu Hashim yang menyifatkan prestasi bloggers semakin menurun kebelakangan ini dan kurang dikunjungi di internet.
“Trend semasa sudah ada twitter dan facebook, kalau blog kurang dikunjungi mungkin mereka pergi ke facebook atau twitter,” jelasnya.
Namun Husam menganggap waktu ini adalah masa terbaik untuk kembali menyerang BN dengan pelbagai isu semasa yang gagal ditangani oleh pentadbiran Najib Razak.
“Waktu ini harga barang naik, minyak naik, minyak masak kurang. Semua ini bahan-bahan yang cukup banyak untuk ditulis oleh para bloggers,” ujarnya.