Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat mengecam pengamal media tertentu yang sering menimbulkan fitnah dan khabar angin yang menggoncang ketenteraman negara. Beliau mengingatkan pengamal media agar menggunakan bakat yang dikurniakan Tuhan kepada mereka ke jalan yang benar, bukan sebaliknya.
Menurut Nik Aziz, fitnah kononnya beliau telah meninggal dunia yang ditulis oleh bloggers baru-baru ini merupakan satu perbuatan yang tidak bertamadun dan telah menyusahkan pelbagai pihak.
“Saya sendiri disebut dalam blog, Nik Aziz telah mati, datang ambulan dan masuk ke ICU. Khabar angin itu menyusahkan negeri. Orang sibuk telefon. Sedangkan saya tak pergi hospital pun,” selarnya di Majlis Ramah Mesra MB Kelantan Bersama Bloggers di sebuah hotel 15 Januari lalu.
Tambahnya, tidak cukup dengan berita kematian, anaknya juga difitnah. Kononnya didatangi pegawai SPRM pada waktu tengah malam dan anaknya mengucapkan kata-kata kesat ke atas pegawai terbabit. Sedangkan prosidur SPRM tidak melakukan soal-siasat mahu pun tangkapan pada waktu malam.
Sehubungan itu Tok Guru menasihatkan para pengamal media agar jangan menulis sesuka hati kerana setiap perbuatan manusia itu dihitung oleh Tuhan sama ada baik mahu pun buruk.
“Jadi bloggers jangan tulis sesuka hati. Tulis benda baik boleh pahala, tulis benda tak baik akan dapat dosa. Di hari akhirat semua pancaindera akan disoal; melihat, mendengar, apakah yang sesuai dengan kehendak Allah atau tidak,” ujarnya.
Majlis Ramah Mesra MB Kelantan Bersama Bloggers itu dihadiri oleh 200 orang bloggers pro Pakatan Rakyat. Majlis dianjurkan bagi merapatkan lagi hubungan bloggers PR dengan kerajaan Negeri dalam menyampaikan penerangan kepada rakyat mengenai perjuangan PR mahu pun berita-berita kerajaan Kelantan. Dalam majlis itu 9 pertanyaan telah dikemukakan oleh para bloggers dan kesemuanya dijawab oleh beberapa orang exco seperti Husam Musa, Takiyuddin Hasan serta Nik Aziz sendiri secara yang memuaskan.