Gugatan beberapa NGO dan pihak-pihak pro-Umno-BN yang menunjuk perasaan baru-baru ini menuntut Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA kononnya bagi melancarkan pendakwaan kes liwat di mahkamah adalah mencabul undang-undang.
Demikian ditegaskan oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin. Shamsul yang juga pengamal undang-undang berkata Anwar mempunyai bukti alibi menyangkal beliau ada bersama Saiful pada hari kejadian. Oleh itu beliau tidak boleh dipaksa menyerahkan sampel DNA sehinggalah pihak pendakwaan berjaya melemahkan alibi tersebut.
“Baik pihak pendakwaan mahupun NGO-NGO picisan yang bersungguh mendesak, mereka kelihatan tidak faham prinsip asas undang-undang bahawa ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’. Dalam mana-mana kes mahkamah, adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk membuktikan tertuduh bersalah berdasarkan bukti yang jelas melampaui keraguan munasabah dan bukannya meminta atau mencipta bukti !
“Dalam kes DSAI, beliau tidak perlu mengemukakan hatta secebis bukti sekalipun kerana beliau sendiri telah mempunyai alibi yang kukuh untuk menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam dakwaan penuduh.
“Apa yang berlaku dalam kronologi kes fitnah kedua ini adalah lebih bersifat pembunuhan karakter. DSAI dinafikan akses ke atas pelbagai dokumen, malah pihak peguambela sendiri terhalang daripada menjalankan pelbagai ujian bebas ke atas bahan-bahan bukti yang dikemukakan oleh pendakwa.
“Isu DNA berterusan dimainkan agar dengan mudah pihak pendakwaan memalitkan tuduhan ke atas DSAI. Percanggahan fakta sejak awal perbicaraan sebenarnya menunjukkan bahawa kes ini langsung tidak mempunyai asas undang-undang yang jelas dan fakta yang kukuh, ditambah pula dengan kredibiliti penuduh yang jahanam,” cela Shamsul.
Anwar yang didakwa meliwat Saiful memang berada di kondominium yang dinyatakan dalam pendakwaan namun beliau ke sana untuk berbincang dengan beberapa orang rakan di salah satu unit kondo berkenaan. Mustahil beliau melakukan kesalahan yang dituduh ke atasnya kerana sepanjang tempoh kesalahan itu didakwa berlaku beliau bersama rakan-rakannya.
Sebaliknya, pembinaan kes oleh pasukan pendakwaan sejak awal lagi telah pun memperlihatkan banyak kepincangan. Pelbagai perkara bercelaru timbul setiap kali saksi baru dipanggil memberi keterangan. Termasuklah terdapatnya lebih daripada satu DNA lelaki pada punggung Saiful yang membawa implikasi bukan Anwar seorang sahaja yang melakukan kesalahan ke atas Saiful pada waktu itu. Hal ini mengingatkan rakyat akan kes liwat pertama di mana Azizan mendakwa Anwar meliwatnya tetapi ketika memberi keterangan memberitahu Sukma juga meliwatnya. Akhirnya, kes itu dibuang oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang menyifatkan Azizan tidak bercakap benar.
Perbuatan pihak pendakwaan yang tidak menyerahkan bahan-bahan kes seperti borang pemeriksaan ke atas badan Saiful, bukti terpenting dalam kes itu menjadikan kes tersebut sangat terdedah kepada dakwaan dimanipulasi dan fitnah semata-mata.
“Tindakan pihak pendakwaan ini sekaligus bertentangan dengan Artikel 10 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (DUHAM) 1948:
“Everyone is entitled in full equality to a fair and public hearing by an independent and impartial tribunal, in the determination of his rights and obligations and of any criminal charge against him.”
“Pembocoran awal hujahan pihak pendakwaan di dalam permohonan jahat mereka untuk memaksa DSAI menyerahkan sampel DNA membuktikan lagi hujah bahawa usaha membunuh karakter Anwar dilakukan secara terancang oleh pihak pendakwaan dan media massa di bawah telunjuk Umno-BN,” tegas Shamsul lagi.
Beliau menyelar pihak yang terus meminta bukti sampel DNA dan meminta Anwar tidak sama sekali tunduk kepada desakan-desakan bebal seperti itu
“AMK dengan tegas menyatakan bahawa tidak ada sebarang keperluan untuk Anwar tunduk kepada desakan-desakan bebal yang sedang dilakukan oleh beberapa pihak. Ini akan menyebabkan berlakunya perubahan terhadap prinsip asas undang-undang itu sendiri dan menjadikannya sebagai seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan tidak bermasalah.
“AMK yakin dan percaya bahawa kelompongan kes ditambah dengan kekarutan pihak pendakwaan serta penyalahgunaan kuasa oleh pasukan polis terbabit di dalam kes yang sedang dipertontonkan ini, berpotensi besar merosakkan imej Malaysia di mata dunia, susulan daripada apa yang telah berlaku pada tahun 1998,” akhirinya.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.