Wanita di Malaysia masih tidak diberi penghargaan sepenuhnya oleh kerajaan. Berbanding wanita di negara lain yang dinyatakan secara kukuh hak-hak mereka dalam undang-undang mahupun perlembagaan serta diberi penghormatan cuti umum sempena Hari Wanita.
Hal itu ditegaskan oleh ahli parlimen Ampang Zuraida Kamarudin yang juga Ketua Wanita KEADILAN baru-baru ini. Menurut beliau kerajaan Malaysia perlulah lebih peka dan prihatin dengan nasib wanita di negara ini memandangkan populasi terbesar negara ini adalah wanita
”Kita sedia maklum bahawa komposisi wanita di negara ini melebihi 50 % dari jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia. Maka, pada hemat saya adalah amat positif jika posisi mereka diletakkan sebagai sebuah populasi sasaran supaya pandangan wanita serta inspirasinya sentiasa diberi perhatian dan keutamaan utama.
“Jika di peringkat antarabangsa, negara-negara seperti China, Rusia, Vietnam dan Bulgaria telah pun melaksanakan cuti umum buat Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Februari setiap tahun. Namun, di Malaysia berlaku sebaliknya. Sehingga kini, masalah keganasan rumah tangga dan diskriminasi terhadap wanita masih menjadi isu utama dan seolah kerajaan tidak benar-benar serius menanganinya,” bidas Zuraida.
Beliau memberi contoh, rekod polis menunjukkan bagi tempoh 2008 hingga September 2010, sebanyak 9,815 kes keganasan rumah tangga telah dicatatkan. Malah, Akta Gangguan Seksual untuk melindungi keselamatan wanita di tempat kerja juga mengambil masa yang lama untuk diluluskan malah menjadi bahan sindiran pula. Ianya suatu mesej yang jelas bahawa kerajaan sebenarnya tidak serius dalam usaha membentuk suatu suasana persekitaran kerja yang selamat buat wanita seperti yang dicanangkan. Selain itu, syarikat penerbangan utama, Malaysia Airlines System (MAS) sendiri turut bersifat diskriminasi apabila kabin krew wanita akan dipaksa bersara lebih awal iaitu pada umur 40 tahun, dan pegawai penyelia wanita pula pada umur 45 tahun.
“Maka, selaku Ahli Parlimen Wanita, saya meminta agar Ahli-ahli Yang Berhormat lain, terutama wanita , tidak kira di pihak Pakatan, Barisan mahupun Bebas untuk bersama-sama menuntut agar Kerajaan Malaysia segera melaksanakan Akta Undang-undang CEDAW (Convention for Elimination of All Forms of Discrimination Against Women),
“Kerajaan Malaysia perlu mengkaji segera penakrifan rogol, diskriminasi dan keganasan rumah tangga seperti yang tertakluk dalam Akta Gangguan Seksual, Akta Keganasan Rumah Tangga 1998, Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 agar maksudnya lebih jelas dan tidak berlaku pertindihan dalam perlaksanaannya di masa hadapan
“Juga meminda Akta Imigresen 1959 dan Akta Imigresen 1963 yang kini mempunyai pertindihan di dalam peruntukan kewarganegaraan buat pasangan dan anak pasangan yang berstatus Malaysia-warga asing,” katanya lagi.
Zuraida juga menggesa agar kedudukan wanita lebih dihormati sepenuhnya dan menghindarkan pandangan bahawa imej wanita sebagai ikon seks dan pelaris perniagaan. Wanita harus dilihat sebagai seorang insan manusiawi, bukan simbol seks atau pelaris produk semata-mata. Bakat, tenaga, keupayaan dan peranan wanita itu harus diiktiraf dengan sewajarnya serta bukan hanya di atas kertas ucapan semata-mata.