Rakaman video lucah yang dibuat bagi tujuan mengaibkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tidak lebih daripada satu taktik untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat (PR) menjelang pilihanraya Sarawak bulan depan.
Menurut Presiden PAS Tuan Guru Hadi Awang penyebaran video lucah itu yang tepat masanya pada hari pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak merupakan satu sabotaj kepada kempen PR menjelang pilihanraya negeri.
“Pendedahan rakaman tersebut, timingnya, sama dengan hari Dewan Negeri Sarawak bubar. Sebagai seorang Islam kita sepatutnya menjadi contoh yang baik (tidak merakam video lucah) kepada bukan Islam, bukan sebaliknya.
“Tuduhan seperti ini, yang melibatkan maruah dan akhlak perlu ditolak sekiranya wujud kekeliruan. Juga perlu diberitahu di mana tempat dilakukan (rakaman diambil) dan siapa pelakunya (untuk siasatan).
“Dalam Islam penuduh perlu membawa empat orang saksi yang adil (untuk mendakwa seorang baik melakukan maksiat),” katanya dalam sidang media Pakatan Rakyat di tingkat 14, Parlimen Malaysia.
Mengulas hal yang sama Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang juga bersetuju dengan Tuan Guru dan menganggap video terbabit merupakan satu lagi usaha untuk memalukan Anwar dan melemahkan semangat penyokong PR.
“Video ini jika berlaku ke atas salah seorang menteri kerajaan Barisan Nasional apakah tindakan yang akan dibuat oleh mereka?
“Hal ini sengaja mensasarkan PR kerana BN bimbang dengan kebangkitan rakyat Sarawak menjelang pilihanraya negeri dan pastinya (pertambahan kerusi) akan memberi impak kepada BN dalam pilihanraya ke-13 nanti.
“Bagi saya rakyat Malaysia harus mengutuk politik kotor (video lucah) seperti ini,” katanya.
Menjawab soalan wartawan yang bertanya lanjut mengenai penafian Anwar bahawa beliau bukan individu yang digambarkan dalam video terbabit Presiden PAS Hadi Awang bertanya kembali mengenai lokasi penggambaran dan penyebaran video itu
“Pertanyaan saya lakonan itu dibuat di mana, hotel mana dan ditayangkan di mana?
Seorang wartawan menjawab: “Di Carcosa”.
“(Jadi semua) ini drama,” balas Hadi bersahaja.
Ditanya adakah Anwar akan bersumpah menafikan terlibat dalam video berkenaan Hadi menjelaskan hanya mahkamah syariah yang berhak memutuskan apakah Anwar perlu bersumpah atau tidak.
“Soal sumpah mahkamah syariah yang boleh tentukan. Kita ragui sistem mahkamah sedia ada di negara kita kerana tidak ada pemisahan kuasa (perundangan dan eksekutif). Biar mahkamah syariah tentukan soal sumpah, bukan media,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar menjelaskan persiapan jentera PR di Sarawak berjalan lancar cuma PR khuatir akan berlaku lagi perkara yang menjejaskan pilihanraya seperti seperti dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini. Sehubungan itu, PR mendesak kerajaan memastikan pilihanraya yang telus di Sarawak
“Kita dalam mesyuarat sebentar tadi mendesak supaya SPR memperkenalkan pilihanraya yang bersih dan adil, tempoh berkempen yang mencukupi selama 21 hari, ruang media yang memuaskan serta elakkan sebarang sekatan. Kami juga menuntut undi pos yang telus,” tegasnya.